Berita

Anggota TUDM maut dalam perjalanan ke tempat kerja

- Diterbit 7 November 2020 5:31 AM MYT

SEORANG anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut digilis lori apabila terjatuh di atas jalan selepas motosikalnya hilang kawalan di jalan yang digenangi air dalam kejadian di Jalan Kuching dekat sini, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata mangsa Mohd Husaini Mohd Nasir, 28, dalam perjalanan dari arah Selayang ke Kem Tentera Udara Subang meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kira-kira pukul 4.42 petang, semasa hujan, mangsa yang menggunakan lorong paling kiri yang turut dipenuhi air tiba-tiba hilang kawalan menyebabkan motosikalnya memasuki lorong paling kanan jalan.

“Sebuah lori yang turut melalui laluan kanan dipercayai telah melepasi motosikal berkenaan sebelum pemandunya menyedari telah melanggar sesuatu di bahagian tayar sebelah kiri.

“Pemandu lori berkenaan telah keluar untuk memeriksa keadaan dan menjumpai mangsa dalam keadaan tertiarap di atas jalan dengan kecederaan parah pada kepala,” katanya.

Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa ke ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat sementara kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas