Berita

Peruntukan cari bakat baharu OKU, sukan ragbi bantu bawa pencapaian lebih besar

- Diterbit 7 November 2020 5:47 AM MYT

PERUNTUKAN yang dikhususkan untuk Program Inspire Orang Kurang Upaya (OKU) dalam Belanjawan 2021 dapat membantu Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mencari bakat-bakat baharu dalam sukan para.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam mengenal pasti bakat baharu untuk memastikan Malaysia tidak ketandusan atlet para yang cemerlang di peringkat antrabangsa.

“Saya dan pihak MPM sangat bangga dan terharu terhadap kerajaan Malaysia, terutama KBS kerana meluluskan Program Inspire untuk komuniti OKU. InshaAllah, MPM sentiasa ingin membantu KBS dan MSN untuk mencari bakat baharu pada masa akan datang,” katanya menerusi video yang dikongsikan kepada media.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat mengumumkan RM28 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program MyFit, Hari Sukan Negara dan Program Inspire OKU.

Dalam pada itu, Megat D Shahriman berharap sebahagian daripada peruntukan berjumlah RM103 juta untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara, dapat digunakan bagi membina Pusat Kecemerlangan Para di peringkat negeri.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Datuk Shahrul Zaman Yahya menyatakan kegembiraannya apabila pembangunan sukan ragbi diberi perhatian khusus dalam Belanjawan 2021.

Sukan ragbi antara empat sukan berprestasi tinggi termasuk pembangunan atlet wanita yang mendapat manfaat berjumlah RM55 juta, selain sukan badminton, hoki dan berbasikal.

Shahrul Zaman berkata KRM sebelum ini melaksanakan Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) dalam keadaan serba kekurangan, dan situasi berkenaan bertambah teruk sejak penularan pandemik COVID-19.

“Peruntukan disediakan kerajaan itu memberi nafas lega selepas perjalanan Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) terjejas susulan penarikan diri penaja kerana impak pandemik COVID-19,” katanya kepada Bernama.

Selain pembangunan, Shahrul Zaman berkata peruntukan itu turut memberi manfaat kepada persediaan skuad kebangsaan bagi menghadapi mana-mana kejohanan tahun hadapan.

Skuad ragbi 15 sepasukan (15’s) negara kini menduduki ranking ke-49 dunia dan kedudukan keenam di Asia.

“Kami akan teruskan program pembangunan dan bekerjasama erat dengan KBS MSN, ISN (Institut Sukan Negara) serta KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia) dan KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) serta rakan kongsi swasta bagi mencapai matlamat ditetapkan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas