Berita

RM10b Prihatin Tambahan ringan beban kewangan PKS

PERUSAHAAN PKS tidak dipinggirkan dalam Prihatin. IKAN bilis yang telah digredkan akan dibungkus sebelum dipasarkan.
- Diterbit 6 April 2020 9:41 AM MYT
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Prihatin Tambahan berjumlah RM10 bilion bagi membantu meringankan beban kewangan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Jelas Muhyiddin, langkah tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) itu juga akan menjamin dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan.
Menurutnya, langkah-langkah tambahan yang diambil ialah peruntukan bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac lalu dinaikkan daripada RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion, iaitu tambahan sebanyak RM7.9 bilion.
“Di bawah inisiatif tambahan ini, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah. Syarikat yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang iaitu subsidi upah sebanyak RM600 bagi setiap pekerja dikekalkan namun, bilangan maksimum pekerja yang layak ditingkatkan daripada 100 kepada 200 orang.
“Bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga 200 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja dan bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang oula, sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja akan diterima.
“Bantuan ini adalah untuk tempoh tiga bulan dan dikhususkan kepada majikan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum 1 Januari lalu serta mendaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya dalam Perutusan Khas sebentar tadi.
Perdana Menteri turut menyatakan, lanjutan daripada peruntukan itu akan memberi manfaat kira-kira 4.8 juta pekerja.
Justeru, ujar beliau, bagi majikan yang memilih untuk menerima bantuan tersebut, mereka disyaratkan untuk mengekalkan pekerja sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan iaitu dalam tempoh tiga bulan semasa menerima subsidi upah dan tiga bulan selepas itu. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas