Berita

PKS mikro tidak terkecuali manfaat Prihatin Tambahan

PERDANA MENTERI, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menunjukkan tanda bagus selepas selesai membentangkan senarai Kabinet baharu di Pejabat Perdana Menteri.
- Diterbit 6 April 2020 9:49 AM MYT
PUTRAJAYA – Kerajaan mewujudkan Geran Khas Prihatin berjumlah RM2.1 bilion bagi semua syarikat perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang menghadapi impak penularan Covid-19 pada masa ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Perutusan Khasnya pada pukul 4 petang tadi mengumumkan kerajaan akan menyediakan Geran Khas sebanyak RM3,000 untuk setiap syarikat mikro yang berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan ia akan memanfaatkan hampir 700,000 PKS mikro di seluruh negara.
“Kerajaan akan memperoleh senarai PKS mikro yang layak daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Organisasi pemberi pinjam wang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang menyediakan kemudahan kredit diseru untuk memberi moratorium ke atas bayaran ansuran PKS selama enam bulan bermula April ini sepertimana yang diberikan bank.
“Saya berharap organisasi pemberi pinjam wang turut bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi pelanggan dan bersama-sama membantu meringankan beban kewangan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan ialah memansuhkan kadar faedah dua peratus kepada sifar untuk Skim Kredit Mikro berjumlah RM500 juta di bawah Bank Simpanan Nasional.
Jelas beliau, skim pinjaman mudah untuk syarikat mikro juga dipanjangkan kepada TEKUN Nasional dengan had maksimum pinjaman sebanyak RM10,000 setiap syarikat pada kadar faedah sifar peratus dan dana sebanyak RM200 juta disediakan.
“Kerajaan turut mengecualikan bayaran sewa atau memberi diskaun sewaan untuk peniaga runcit PKS bagi premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan.
“Pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan pengurangan atau pelepasan sewa kepada penyewa premis perniagaan yang terdiri daripada PKS akan diberi potongan cukai tambahan bersamaan dengan amaun pengurangan sewa tersebut bagi bulan April hingga Jun tahun ini.
“Potongan cukai tambahan ini tertakluk kepada syarat pengurangan sewa, iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kadar sewa asal bagi tempoh tersebut,” katanya.
Menurut Muhyiddin lagi, pengurangan bayaran levi pekerja asing kecuali pembantu rumah diberikan sebanyak 25 peratus kepada semua syarikat yang permit pekerja mereka tamat pada 1 April hingga 31 Disember tahun ini.
Tambahnya, syarikat juga dibenarkan untuk mengemukakan dokumen berkanun bagi memenuhi keperluan SSM dalam tempoh PKP selain memberikan moratorium secara automatik selama 30 hari daripada tarikh terakhir PKP untuk syarikat mengemukakan dokumen berkanun kepada SSM.
“Tempoh menyerah simpan penyata kewangan syarikat juga dilanjutkan selama tiga bulan daripada tarikh terakhir PKP. Kelonggaran ini diberikan kepada syarikat yang mempunyai tahun kewangan berakhir 30 September hingga 31 Disember 2019.
“Walau bagaimanapun, syarikat perlu memohon kelonggaran ini daripada SSM dan tiada fi penghantaran lewat akan dikenakan atas permohonan berkenaan,” katanya. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas