Berita

RM1.9 bilion untuk perkasa Syiar Islam di Malaysia

- Diterbit 13 Oktober 2023 11:45 AM MYT

KERAJAAN Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited dengan perkembangan syiar Islam dalam negara dengan mengumumkan kira-kira RM1.9 bilion dalam Belanjawan 2024.

Peruntukan yang terbesar dalam sejarah itu diberikan untk pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam khusus dalam pendidikan ilmu Islam bagi menghayati dan memaknai oleh seluruh umat Islam dalam negara.

“Untuk tahun hadapan, dua buah institusi pendidikan Islam akan dibina dengan kos RM220 juta iaitu Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah
Kebangsaan Agama Jempol, Negeri Sembilan.

“Kira-kira RM150 juta disediakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

Bagi memantapkan lagi penghayatan umat Islam, Perdana Menteri akan meneruskan penganjuran majlis ilmu oleh tokoh dan ilmuan Islam di seluruh negara khususnya di Kompleks Seri Perdana dan diperbanyak bagi meningkatkan kefahaman dan
penghayatan ilmu agama.

Kata Perdana Menteri, sebagai menghargai jasa dan peranan besar lebih 70 ribu guru takmir, guru KAFA, imam, bilal, siak, noja dan marbut di peringkat komuniti, kerajaan bersetuju untuk memberikan sumbangan khas ditambah menjadi RM700 ringgit yang akan disalurkan terus kepada mereka dengan peruntukan disediakan lebih RM50 juta.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sejak tahun 2003, kerajaan ketika itu telah memberhentikan bantuan per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat atas alasan pendekatan pengajaran Islam yang tidak berada di landasan yang betul.

“Kerajaan Perpaduan memutuskan untuk mengembalikan semula geran bantuan sebanyak RM20,000 kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah JAKIM.

“Pemberian ini diharap dapat menyokong fungsi Sekolah Agama Rakyat dalam melahirkan generasi baharu Islam yang seimbang ilmu duniawi dan ukhrawi mereka,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas