Atlet Wilayah

Ridzwan cari rentak senior

RIDZWAN (dua dari kanan) melakukan hadangan ketika
- Diterbit 7 November 2021 2:00 AM MYT

ATLET bola tampar pantai Wilayah Persekutuan, Ridzwan Rahman, 21, berharap skuad bola tampar diberi banyak peluang untuk menjalani latihan bersama skuad senior seterusnya memberi lebih pendedahan.

Menurut atlet kelahiran Labuan ini, sebagai pendatang baharu yang mula berjinak dalam sukan bola tampar pada 2019, dia perlu melalui banyak aksi untuk mendapatkan pendedahan yang lebih dalam sukan tersebut.

“Sebelum ini penampilan saya dalam skuad bola tampar, jadi saya perlukan masa untuk menyesuaikan diri lebih-lebih lagi sebelum ini latihan agak terhad kerana pandemik COVID-19 yang melanda.

“Tambahan pula, beraksi di pantai sangat berbeza dan setakat ini saya tidak menyasarkan apa-apa melainkan ingin mendapatkan rentak dan cara bermain melalui bantuan jurulatih dan skuad yang lebih
berpengalaman.

“Bagi saya, pendedahan dan tunjuk ajar yang lebih merupakan pengajaran yang sangat berharga untuk atlet lebih-lebih lagi yang baharu seperti saya ini,” ujar anak ketiga daripada lima orang adik-beradik ini.

Dia yang merupakan atlet sepenuh masa mengakui tidak sabar untuk menyertai sebarang kejohanan.

“Alhamdulillah nampaknya selepas ini, lebih banyak lagi kejohanan yang dapat disertai sekali gus dapat mengukur pencapaian diri dalam sukan ini selain menjadi medan untuk memperbaiki prestasi.

“Selain itu, diharapkan juga skuad berpeluang ke luar negara untuk kejohanan yang lebih besar. Melalui itu juga, kami dapat mencari pengalaman bermain serta melihat strategi atlet luar mereka,” katanya kepada Wilayahku.

Kongsinya, dia banyak berbincang tentang konsep taktikal dan teknikal bersama rakan sepasukan sebelum berdepan dengan pihak lawan.

“Biasanya kami akan menghabiskan masa dengan sesi perbincangan selain menjalani latihan dengan lebih konsisten menjelang perlawanan,” ujarnya yang mengakui semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan rakan sepasukan amatlah penting. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas