Berita

Rezeki selepas tunai ibadah zakat

AHMAD SHUKRI (tengah) bergambar dengan para pemenang pada majlis penyampaian hadiah program YEZ 2019 di Wisma PPZ, Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur, Rabu lalu.
- Diterbit 21 Februari 2020 4:24 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kesedaran sebagai umat Islam untuk menunaikan ibadah zakat sejak mula bekerja sebagai anggota tentera membuahkan hasil apabila dipilih menjadi pemenang utama program Year End Zakat (YEZ) 2019.

Bagi Koperal Mohd. Izdham Mohd. Nasir, 32, yang berkhidmat di Kem Sungai Besi menyifatkan hadiah utama itu sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka kerana tidak pernah mengetahui mengenai program YEZ yang dianjurkan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

“Pada peringkat awal saya dapat panggilan yang mengatakan bahawa saya telah dipilih sebagai pemenang hadiah ini. Namun kerana masa kini terlalu banyak sindiket penipuan melalui telefon, saya tidak mempercayainya.

“Apabila disahkan bahawa ia bukan penipuan, saya bersyukur kerana dipilih. “Saya akan hadiahkan kepada ibu atau bapa mertua untuk mengerjakan ibadah umrah nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kempen YEZ 2019 di Wisma PPZ di sini, Rabu lalu.

Sementara itu, pemenang kategori pembayar setia PPZ-MAIWP, Shamsiah Hamzah, 71, pula berkata, hadiah tersebut dianggap rezeki sempena tahun baru 2020.

“Saya sudah membayar zakat sejak tahun 1991 ketika bekerja sebagai pegawai latihan di Intitut Tadbir Awam Negara (INTAN). Saya menunaikan zakat melalui kaunter di Masjid Negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, pembayar zakat tahun 2019 telah meningkat sebanyak 17 peratus iaitu seramai 211,012 orang berbanding tahun 2018 sebanyak 180,958 orang.

“Selain itu, kami berjaya membuat kutipan sebanyak RM682.2 juta yang meningkat sebanyak lima peratus berbanding kutipan tahun 2018 iaitu sebanyak RM651.2 juta.

“Peningkatan ini adalah disebabkan kempen-kempen kesedaran yang berterusan dilakukan pihak PPZ-MAIWP di samping kerjasama pelbagai pihak dalam meningkatkan kutipan dan pembayar zakat tahun 2019,” katanya.

Seramai 30 pembayar menerima hadiah sempena program YEZ 2019.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas