Berita

Nostalgia era 60-an, Pekan Sungai Besi masih segar dikunjungi

SUASANA medan selera di Pasar Sungai Besi yang sentiasa dikunjungi orang ramai.
- Diterbit 21 Februari 2020 4:56 AM MYT

DI angkat sebagai Pekan Warisan kerana pernah menjadi lokasi ikonik dan tumpuan orang ramai sekitar tahun 90-an, Pasar Sungai Besi yang wujud kira-kira 60 tahun lalu tetap meriah dan dipenuhi pengunjung yang mahu menjamu selera.

Malah, pekan kecil yang pernah diberi jolokan pekan koboi ini menyim pan 1,001 sejarah sejak ia menjadi pusat perlombongan bijih besi paling dalam di Malaysia pada era 30-an.

Untuk pengetahuan semua, sebelum menjadi sebuah pekan yang padat dan menjadi tumpuan masyarakat setempat, pekan Sungai Besi pada asalnya, hanyalah sebuah perkampungan Melayu biasa sebelum British membawa masuk pekerja lombong berketurunan Cina untuk bekerja di lombong bijih besi.

Kini, di era milenium, kewujudannya masih terus segar malah persekitarannya juga padat dengan pembangunan seperti pusat penempatan dan infrastruktur sekali gus menjadikan Pasar Sungai Besi seolah-olah tinggalan sejarah yang masih kekal.

Menariknya di sini, sajian-sajian yang dijual masih mengekalkan menu lama serta harga murah seperti Lempeng Kelapa, Mee Jawa, Roti Jala dan Apam Balik.

PAK MAN Mee Jawa sentiasa diminati pengunjung.

Menurut peniaga gerai no 5, Pak Man Mee Jawa, Mohd. Aliff Abd. Rahman, harga yang ditawarkan untuk semangkuk Mee Jawa adalah RM3.

“25 tahun dulu, harganya RM1.50. Selepas saya mewarisi perniagaan ayah 10 tahun lalu, saya naikkan harganya kepada RM3 dan harga itu kekal sehingga kini.

“Istimewanya Mee Jawa ini adalah cucur udangnya dimasak sendiri oleh saya dengan ramuan tradisi ibu yang merupakan keturunan Jawa di Teluk Intan, Perak,” katanya ketika ditemui Wilayahku baru-baru ini.

Menurut anak muda berusia 35 tahun itu, harga masih dikekalkan sejak 10 tahun lalu kerana dia masih mendapat untung walaupun di saat harga kos bahan mentah meningkat selain mahu mengurangkan beban pengunjung yang mahu bersantai.

Bagi peniaga Lempeng Kelapa, Marziah Abd. Karim, 63, pula, dia memilih untuk menjual menu tersebut kerana kurangnya makanan tradisional pada masa ini.

“Lempeng adalah makanan asli nenek mo yang kita. Saya nak komersialkan balik, sebab ramai anak muda yang tidak mengenalinya.

“Ramai yang terkejut sebab kat sini ada jual lempeng, dan sangat memuaskan. Di sini RM1 sekeping, pelanggan boleh pilih sama ada mahu cecah susu, sambal atau gula,” katanya.

LEMPENG kelapa yang dipanggang antara hidangan pilihan pengunjung.

Menurut generasi kedua Pasar Sungai Besi yang juga Pengerusi Persatuan Penjaja, Abu Hassan, pasar ini sudah ada sejak 60-an dan dibaiki semula pada 1984.

“Meja-meja yang digunakan peniaga juga masih seperti dahulu serta tiada perubahan yang dilakukan di sini selain tambah baik tandas serta lampu,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas