Berita

Rentas negeri Gerak Malaysia bermula esok

- Diterbit 6 Mei 2020 9:21 AM MYT

PUTRAJAYA – Pergerakan rentas negeri menerusi aplikasi Gerak Malaysia akan bermula esok hingga Ahad ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan jadual dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyaksikan esok dibenarkan bagi mereka yang ingin pulang ke kediaman masing-masing di negeri lain dari Kuala Lumpur.

Kata beliau, pergerakan bagi mengambil ahli keluarga di kampung dari Kuala Lumpur turut dibenarkan dilakukan esok.

“Mereka perlu memaklumkan di aplikasi Gerak Malaysia sama ada perjalanan balik hari atau bermalam di kampung halaman itu.

“Ini kerana dalam tempoh empat hari tersebut terdapat hari-hari tentu dibenarkan bagi perjalanan semula ke Kuala Lumpur yang perlu mereka patuhi,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pergerakan serentak dari tiga buah negeri melibatkan Perak, Johor dan Kelantan ke Kuala Lumpur adalah pada Jumaat ini.

Ismail Sabri turut menambah, negeri seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang diperuntukkan pada Sabtu ini manakala pada hari Ahad bagi mereka yang berada di Selangor, Negeri dan Terengganu ke Kuala Lumpur.

“Gerai dan surau di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) ditutup, hanya tandas dibuka.

“Sekiranya mereka letih dibenarkan hanya berehat di dalam kereta di R&R dengan pihak berkuasa akan berada di semua R&R atau tempat hentian bagi memastikan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan stesen minyak di lebuh raya beroperasi bermula pukul 6 pagi hingga 12 malam bagi kemudahan orang ramai mengisi minyak kenderaan mereka. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas