Berita

2,297 pelajar IPT dihantar pulang naik pesawat

MEREKA yang bujang dan bekerja di perantauan juga merindui ibu bapa di kampung halaman. - Gambar hiasan
- Diterbit 6 Mei 2020 9:36 AM MYT

PUTRAJAYA – Seramai 2,897 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, daripada jumlah tersebut menyaksikan 2,297 pelajar dihantar menggunakan lapan penerbangan.

Menurutnya, ia melibatkan penghantaran dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, Sabah ke Sarawak dan Sarawak ke Kuala Lumpur.

“Secara terperincinya, tiga penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dua penerbangan masing-masing dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan KKIA ke KIA.

“Satu lagi penerbangan dari KLIA ke KIA,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, selebihnya sebanyak 600 pelajar adalah bagi penghantaran pulang dari zon timur ke selatan dan zon utara ke tengah pada malam ini. – WILAYAHKU

ANGGOTA bomba melakukan semburan disinfeksi ke atas semua bagasi pelajar.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas