Selebriti

Remy Ishak kini sah suami Ezza Yusof

- Diterbit 21 Ogos 2021 7:49 AM MYT

DENGAN sekali lafaz, akhirnya pelakon Remy Ishak sah bergelar suami kepada wanita pilihannya
Ezza Yusof sebentar tadi dalam satu acara ringkas di Masjid Negara Kuala Lumpur.

Pasangan ini diijabkabulkan oleh abang pengantin perempuan sendiri iaitu Rozman Yusof, manakala Ezza atau nama sebenar Roszaliza Yusof menerima sebentuk cincin sebagai mas kahwin.

Mengikut Prosedur Operasi Standart (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (JAWI), sesi pernikahan ini hanya dihadiri oleh pasangan mempelai dan wali kepada pengantin perempuan yang juga abang kandungnya Rozman Yusof.

Remy dan isteri yang mengenakan busana pengantin hasil rekaan Mirul Jonit, turut ditatarias oleh jurumekap Chomel dan Adik Wan serta penata gaya oleh Tym Fatimah.

Menurut Remy Ishak, dia memanjatkan kesyukuran kerana sesi pernikahan ini dapat berjalan dengan lancar dan pasangan tersebut turut menitipkan ucapan khas buat semua rakan-rakan dan peminat.

“Maka bermulalah perjalanan baru bagi kami sebagai pasangan suami dan isteri, mohon mendoakan kebaikan serta kesejahteraan buat kami berdua,” ujar Remy.

Pernikahan pasangan tersebut telah beberapa kali tertunda sejak Mei kerana negara masih dalam fasa pemulihan pandemik COVID-19.

Terdahulu Remy Ishak telah membuat pengumuman esklusif melalui satu temuramah bersama program Gempak TV di Astro Ria Saluran 104 HD tentang tarikh pernikahannya.

Selamat menempuh alam rumah tangga buat Remy Ishak dan Ezza. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas