Selebriti

Pelbagai dugaan dilalui bersama… Elisya bersyukur bersuamikan Uzair

|SEMOGA kekal bahagia hingga ke syurga. Amin...|
- Diterbit 21 Ogos 2021 11:22 PM MYT

ALHAMDULILLAH.. Akhirnya pelakon Elisya Sandha,21, sah bergelar isteri kepada Uzair,25, setelah berkenalan lima tahun lalu.

Sikap penyayang Uzair dan sanggup susah senang bersama membuatkan Elisya yakin dengan pilihannya.

“Paling utama yang membuatkan saya tertarik kepada Uzair adalah sikapnya menjaga dan menyayangi keluarganya.

“Itu antara ciri yang saya lihat menjadi jaminan dia boleh menjaga saya dengan baik… Insya-Allah. Dia juga rajin bekerja dan menghormati orang tua.

“Kami juga mengharungi pelbagai ujian hidup bersama sejak dulu,” katanya.

SEMOGA kekal bahagia hingga ke syurga. Amin…

Sementara itu, Uzair pula menyenangi peribadi isterinya.

“Elisya cukup menenangkan saya. Kami cuba melengkapi diri masing masing.

“Ini fasa baru untuk kami lebih serius memikirkan soal tanggungjawab. Semoga ia dipermudahkan,” kata Uzair yang juga anak kepada pengarah Jinggo dan aktres Sheila Rusly.

Pasangan berkenaan bernikah kira kira jam 3.11 petang semalam di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak (PAID) berwalikan bapa Elisya, Mohd Faisal Abdullah.

Pada majlis ringkas mematuhi prosedur operasi standard (SOP) itu, Elisya atau nama penuhnya, Nur Elisya Hassan menerima mas kahwin berupa seutas gelang emas putih daripada Uzair yang bekerja sebagai pengurus produksi.

Adik kepada Fasha Sandha itu juga berkata, majlis asalnya dirancang pada 22 Februari 2022.

“Memang perancangan bernikah hari ini berlangsung pada minit akhir. Dapat saja tarikh nikah dua minggu lalu, saya dan suami memulakan persiapan kahwin serba sederhana.

“Dengan situasi pandemik COVID-19 yang tak boleh dijangka dan peningkatan kes harian mendadak naik, segala segalanya perlu dipercepatkan,” ujarnya lagi.

Elisya yang mengenakan persalinan daripada Teh Firdaus dan ditatarias Datuk Alha Alfa turut memaklumkan yang dia menerima wang hantaran berjumlah RM22,222.22.

Elisya yang turut mengenakan barang kemas tajaan Habib Jewels menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima.

Majlis nikah tersebut juga dipancarkan secara langsung menerusi aplikasi Zoom membabitkan adik beradik, sanak saudara dan rakan rapat.

Pasangan ini melangsungkan pertunangan pada 31 Januari lalu. – WILAYAHKU

Foto ihsan: @amirnaufalphotography

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas