Berita

Remaja bawah umur antara 20 ditahan positif dadah

SERBUAN
ANGGOTA AADK memantau pengunjung pusat hiburan semasa Op Bersepadu Tindakan Khas baru-baru ini.
- Diterbit 31 Julai 2019 10:04 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Akibat ingin merasai pengalaman berada di pusat hiburan, dua remaja bawah umur ditahan dalam Op Bersepadu Tindakan Khas di sebuah premis hiburan di Jalan Kia Peng di sini baru-baru ini.

Mereka antara 20 individu yang ditahan selepas disyaki positif dadah jenis syabu serta tetra hydrocannabinol (THC).

Operasi yang bermula pada pukul 12.30 tengah malam, Isnin lalu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Kuala Lumpur, Mohamad Hanif Omar berkata, dalam operasi itu, seramai 60 orang diperiksa ketika sedang asyik leka bergoyang.

“Selepas kita menjalankan ujian saringan air kencing, 20 daripada mereka yang ditahan didapati positif dadah.

“Mereka terdiri daripada 14 lelaki dan enam wanita yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 50 tahun,” katanya.

Menurut Mohamad Hanif, tindakan lanjut ke atas premis dilakukan oleh DBKL yang mengarahkan premis berkenaan ditutup serta merta.

Jelas beliau, tindakan tersebut dilakukan selepas mendapati premis yang mempunyai lesen itu telah melanggar syarat-syarat yang dilesenkan di bawah Seksyen 17 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992.

Tambah beliau, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.30 pagi dan kesemua tangkapan dibawa ke ibu pejabat AADK Wilayah Persekutuan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas