Berita

Wilayah Persekutuan sasar juara Sukma 2020

TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh, merasmikan SWIP 2019 Sukan Tempur di Kompleks Sukan Setiawangsa, Kuala Lumpur
- Diterbit 27 Julai 2019 6:24 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh optimis pasukan Wilayah Persekutuan pamerkan aksi cemerlang pada Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang bakal berlangsung di Johor pada 11 hingga 19 Julai tahun depan.

Ini kerana, jelas beliau, kesemua atlet yang bakal terlibat dalam acara Sukma itu nanti telah disaring terlebih dahulu menerusi Karnival Sukan Wilayah Persekutuan (SWIP) yang berlangsung bermula hari ini.

“SWIP ini adalah untuk mencungkil bakat-bakat baru yang bakal mewakili Wilayah Persekutuan bagi sukan Sukma.

“Dengan adanya saringan awal ini, maka kita dapat bentuk satu pasukan tempur yang kuat untuk mewakili Wilayah Persekutuan dan memastikan kita mendapat pingat emas terbanyak atau semua sekali yang boleh kita rangkul dalam pertandingan akan datang.

“Dulu kita dapat tempat kedua, kini sudah pasti kita sasarkan tempat pertama keseluruhan,” katanya selepas merasmikan SWIP Sukan Tempur di sini hari ini.

Terdahulu enam acara dipertandingkan pada SWIP Sukan Tempur antaranya silat, taekwondo, tinju dan muay Thai.

Mengulas lanjut, Shahruddin berharap lebih ramai lagi anak muda terlibat dalam bidang sukan terutama mereka yang berumur bawah 21.

Pada temasya Sukma 2018 yang lalu, Wilayah Persekutuan berada di belakang Trengganu selepas kurang empat pingat emas dengan rekod keseluruhan adalah 52 emas, 38 perak dan 50 gangsa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas