Berita

Industri biji benih bunga jadi pendapatan baharu negara

PRA-PELANCARAN FLORIA
KHALID berucap semasa TownHall Pembangunan Kampung Baru. - Gambar hiasan
- Diterbit 1 Ogos 2019 12:12 PM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD

[email protected]

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan melalui agensinya, Jabatan Landskap Negara akan mengadakan kerjasama bersama beberapa kementerian untuk terlibat dalam usaha menjalankan kajian bagi meneroka industri menghasilkan benih bunga tropika sebagai pendapatan baharu negara.

Menterinya, Khalid Abd. Samad berkata, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, Kementerian Pertanian dan Industri Tani serta Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) juga akan dilibatkan untuk menghasilkan biji benih bunga berkenaan.

Beliau berkata, kajian itu melibatkan jenis-jenis bunga di negara ini yang sesuai dengan cuaca tropika dan boleh bertahan lama serta lasak.

“Proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) mungkin dilakukan antara dua hingga tiga tahun untuk menghasilkan biji benih sendiri dan boleh dikembangkan jadi pendapatan baharu bagi negara kita,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pra Pelancaran Royal Floria Putrajaya 2019 di Taman Botani di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim dan Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Rotina Mohd. Daik.

Terdahulu dalam ucapannya, Khalid berkata, kerajaan sedang berusaha mempelopori industri biji benih bunga untuk negara.

”Tahukah tuan-puan, kebanyakan bunga yang kita lihat di tepi-tepi jalan dan di taman-taman di negara kita ini, biji benihnya kita import dari Belanda walaupun ia adalah bunga-bungaan tropika?

”Melalui projek penghasilan biji benih bunga ini, kita berharap bunga yang cantik kita lihat di negara ini, berasal daripada biji benih bunga yang dihasilkan oleh negara kita sendiri,” katanya.

Laporan Wilayahku pada 26 Julai lalu memetik Rotina berkata, pihaknya komited untuk mewujud dan menerajui industri pengeluaran biji benih bunga bagi mengurangkan kos import khususnya bunga  semusim dari luar negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas