Dr. Mahathir cadang tukar portfolio

Dr. Mahathir cadang tukar portfolio

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui beliau mencadangkan pertukaran portfolio dalam kalangan anggota Kabinetnya.

Jelas beliau, cadangan tersebut dibentang di dalam Kabinet namun ia belum berlaku lagi seperti yang tular baru-baru ini.

“Belum lagi lah, kalau ada saya bagi tahu.

“Ia bukan permintaan daripada anggota Kabinet,” katanya memetik laporan Bernama.

Ditanya sama ada Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed akan dibawa menyertai Kabinet, Dr. Mahathir berkata, tiada menteri baharu dibawa masuk.

Beliau selaku Perdana Menteri juga menyatakan anggota Kabinetnya kini lebih berkeupayaan berbanding ketika dilantik kerana telah mempunyai pengalaman lebih dari setahun.

Dalam pada itu, mengulas tentang perkhidmatan Gojek, beliau berkata, Malaysia mempunyai pelbagai jenis pengangkutan awam yang boleh digunakan.

“Kalau rasa tak selamat jangan naik. Kita ada pilihan dan kita tidak paksa kamu guna perkhidmatan motosikal itu,” tegasnya sambil menambah peniaga kecil juga boleh mendapat manfaat daripada perkhidmatan Gojek.

Bagi isu pengusiran penceramah bebas Dr. Zakir Naik pula, Dr. Mahathir menyatakan belum ada perubahan pada arahan tidak boleh mengusir Zakir yang dibuatnya sebelum ini.

Dr. Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia tidak boleh mengusir Zakir kerana wujud ancaman bunuh dan penceramah kontroversi itu sedang disiasat polis kerana berbaur perkauman. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS