Berita

PriVo cari lebih ramai sukarelawan

ANTARA sukarelawan PriVo yang turun padang semasa program vaksinasi di PPR Muhibbah baru-baru ini.
- Diterbit 11 Jun 2021 8:45 AM MYT

PRIVO kini dalam usaha mendaftarkan seramai mungkin sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun, seramai mungkin sukarelawan sedang didaftarkan terdiri daripada persatuan-persatuan sedia ada.

“PriVo sedang berusaha mendaftarkan seramai mungkin sukarelawan yang terdiri daripada individu-individu, persatuan-persatuan yang sedia ada, NGO-NGO, syarikat-syarkiat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta ramai lagi,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya fokus utama ketika ini adalah membantu program-program yang dikategorikan sangat perlu Pusat Koordinasi dan Pengurusan COVID-19  Wilayah Persekutuan (CCMC WP) berkaitan usaha memerangi COVID-19 seperti:

i)Program Vaksinasi Bergerak melibatkan 600 orang sukarelawan PriVo membantu program vaksinasi bergerak di 4 kawasan parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula pada 11 hingga 14 Jun 2021. Lebih  ramai sukarelawan diperlukan untuk membantu program Program Vaksinasi Bergerak pada fasa seterusnya.
ii) Program Saringan Mass RTK-Antigen Covid-19 secara percuma yang telahpun bermula pada 5 Jun dan akan berakhir pada 5 Julai 2021.
iii) Program Sanitasi premis awam yang sedang dijalankan secara berkala oleh DBKL, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan.
iv) Program berkaitan vaksinasi dan bantuan kepada gelandangan; dan
v) penyampaian bantuan makanan kepada golongan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Sekatan Pergerakan (lockdown).

Ujarnya lagi YWP menyeru orang ramai untuk terlibat dalam inisiatif murni PriVo ini melalui 10 kluster utama.

“YWP menyeru individu-individu, persatuan-persatuan dan syarikat swasta terlibat dalam inisiatif murni PriVo ini melalui 10 kluster utama seperti kesihatan, pendidikan, sukan, kebajikan masyarakat, perumahan rakyat, kemiskinan bandar, kerjaya, alam sekitar dan kesenian.

“Kluster kegiatan ini mungkin akan bertambah di masa hadapan sesuai dengan trend dan minat anak muda dan warga Wilayah Persekutuan,” tambahnya.

Zaizalnizam berkata PriVo bertindak sebagai pusat penyelaras kegiatan kesukarelawan di Wilayah Persekutuan (WP) dan Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah dilantik sebagai pengarah PriVo manakala pentadbiran PriVo akan dibantu oleh pegawai-pegawai YWP yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang berkaitan.

Tambahnya, untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai PriVo, orang ramai boleh melayari laman web YWP di pautan https://www.yayasanwp.org/privo dan juga platform media sosial rasmi PriVo. -WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas