Berita

Rawat, selenggara pokok besar

ANGGOTA penyelamat menyelamatkan seorang mangsa yang ditimpa pokok tumbang di Pantai Tanjung Purun baru-baru ini.
- Diterbit 7 Mac 2020 8:19 AM MYT

LABUAN – Perbadanan Labuan (PL) berusaha memastikan pokok-pokok di bawah selenggaraannya dapat terus dipelihara dan tidak menjejaskan keselamatan awam.

Justeru bagi tujuan tersebut, pihak berkuasa tempatan itu sedang dalam proses memasukkan semua pokok ameniti di bawah selenggaraannya dalam insuran liabiliti awam.

Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr. Fary Akmal Osman ber­kata, dokumen bagi proses ter­sebut akan disiapkan se­lewat-lewatnya pada Jun depan.

“Banyak faktor perlu di ambil kira dalam proses tersebut seperti kos operasi, rawatan pokok dan penanaman pokok pokok baharu.

“Malah terdapat beberapa batang pokok masih boleh dirawat untuk mengelakkannya daripada terpaksa ditebang memandangkan ia melibatkan kos rawatan yang agak mahal serta mengambil masa,” kata­nya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Fary berkata, bagi tujuan itu, PL akan mendapatkan nasihat dan kerjasama pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

“Kita sayang pokok-pokok ini kerana ia sudah besar dan kalau ia ditebang akan menyebabkan suhu di taman awam meningkat,” katanya.

Beliau menyatakan, PL perlu membuat banyak pertimbangan iaitu sekiranya PL mengambil langkah merawat pokok tersebut kemungkinan dahannya boleh patah juga disebabkan angin.

Namun katanya, sekiranya pokok-pokok tersebut tidak dirawat, kemungkinan lubang di bahagian dalam pokok boleh bertambah besar kerana proses pereputan hingga boleh mengundang bahaya kepada orang ramai.

Dalam hal ini, Fary menasihatkan semua warga Labuan agar berhati hati sekiranya berada di kawasan pantai atau taman-taman rekreasi yang ada pokok-pokok lama terutamanya ketika angin kencang.

Tambahnya, PL telah me­ngambil tindakan menebang pokok-pokok reput di tepi Pantai Layang Layangan bagi menjamin keselamatan pengunjung.

“Tempat tersebut telah di­bersihkan bagi dijadikan tapak perniagaan untuk penduduk kampung berhampiran dan bazar Ramadan nanti.

“Kawasan itu juga akan digunakan bagi penganjuran Festival Layang-layang Antarabangsa yang dijadual berlangsung Mac ini,” katanya.

Baru-baru ini, seorang wanita, Siti Amidah, 45, cedera pada dahi dan kaki kanan akibat dihempap pokok tumbang di kawasan riadah di kawasan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan ekoran angin kencang kira-kira pukul 6.20 petang, 22 Februari lalu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas