Berita

7 lokasi panas diserbu DBKL, 48 gelendangan diselamatkan

OPERASI Bersepadu Menyelamat Gelandangan oleh DBKL berakhir pada pukul 3 pagi Ahad lalu. Kredit foto: Facebook DBKL
- Diterbit 22 April 2022 1:26 AM MYT

SERAMAI 48 orang gelandangan di sekitar ibu kota telah diselamatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Operasi Bersepadu Menyelamat Gelandangan di tujuh lokasi panas baru-baru ini.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan lokasi pencarian terbabit melibatkan Jejantas UTC Pudu, Mydin Jalan Silang, Jejantas LRT Pasar Seni, Bangkok Bank, Agrobank Central Market, HSBC Masjid Jamek dan Masjid Negara.

“Secara keseluruhan seramai 48 orang gelandangan dengan tujuh daripadanya adalah warga asing telah diselamatkan pada Jumaat lalu.

“Operasi yang bermula pukul 11 malam itu dilaksanakan DBKL melalui Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB) dengan usaha sama oleh Jabatan Penguatkuasaan (JPK) dan Jabatan KesihatanAlam Sekitar (JKAS) serta dibantu bersama agensi sahabat,” katanya.

Antara agensi terlibat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Alam Flora.

Ujarnya, kesemua gelandangan itu turut dibawa menjalani proses saringan kesihatan oleh JKAS bersama AADK di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan telah ditempatkan di Pusat Transformasi Gelandangan Anjung Kelana, Taman Danau Desa, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Unit Pembangunan Komuniti Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB) DBKL turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pegawai dan anggota yang turun padang dalam operasi ini.

“Operasi ini akan dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan gelandangan berpelesiran di ibu kota berada pada tahap optimum,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas