Berita

Rasai pengalaman berbasikal, minum kopi di Lake Cabin, Putrajaya

LAKE Cabin juga merupakan sebuah kafe hipster yang pastinya memberi keterujaan buat penggemar kopi.
- Diterbit 4 Jun 2022 5:00 AM MYT

TARIKAN terbaharu di Pit Stop@Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya iaitu Lake Cabin semakin dikenali dan dikunjungi oleh ramai pengunjung bukan sahaja warga Putrajaya tetapi juga pelancong asing.

Rata-ratanya memberi reaksi positif terhadap inisiatif Perbadanan Putrajaya (PPj) mewujudkan kedai basikal dengan pelbagai kemudahan seperti menyewa, menjual dan membaiki basikal selain mempunyai kafe berkonsepkan hipster di dalam kawasan taman rekreasi.

ENA

Bagi penggemar aktiviti berbasikal yang mahu dikenali sebagai Ena, 37, berasa teruja dengan pembukaan Lake Cabin sekali gus menarik minat penunggang basikal termasuk pengunjung lain untuk merasai pengalaman berbasikal di Putrajaya.

“Putrajaya sememangnya sudah dikenali oleh penunggang basikal di Lembah Klang sebagai destinasi berbasikal selain tempat latihan buat para atlet dan aktiviti beriadah terutama ketika hujung minggu. Apabila dibuka di pit  stop, ia merupakan usaha terbaik oleh PPj untuk membawa orang ramai berbasikal sambil dapat menikmati kopi dan makanan panas selepas menunggang.

“Bukan itu sahaja, kemudahan yang disediakan seperti tempat untuk membaiki basikal adalah satu bonus buat penunggang sekiranya berlaku sebarang kecelakaan serta perkhidmatan menyewa basikal pastinya akan menarik pelancong tempatan dan asing untuk melakukan aktiviti berbasikal di Putrajaya,” katanya kepada Wilayahku.

SYAZWAN

Sementara itu, Muhammad Syazwan Kamarudzaman, 28, berkata Lake Cabin merupakan destinasi wajib singgah kerana ia amat sesuai untuk berehat seketika selepas beriadah sambil menikmati kopi dan pemandangan di Anjung Floria.

“Ini adalah pertama kali saya datang ke Lake Cabin yang dihiasi dengan rekaan hipster yang terdapat pelbagai kemudahan khususnya buat penggemar aktiviti berbasikal di tengah taman rekreasi.

“Saya pasti dengan adanya Lake Cabin ini, suasana di sini akan lebih meriah dengan kehadiran ramai pengunjung sekali gus membantu merancakkan kembali industri pelancongan di Putrajaya selepas pandemik COVID-19,” kongsinya yang turut kunjungi Lake Cabin bersama isteri dan anaknya pada Isnin lalu.

NADHIRAH

Bagi Nadhirah Zakaria, 27, pula berharap Lake Cabin akan terus dikenali ramai terutama warga Putrajaya yang meminati aktiviti berbasikal untuk memaksimumkan sebaik mungkin perkhidmatan yang ditawarkan oleh premis ini.

“Selain itu, saya tidak pernah lagi jumpa kedai basikal di taman rekreasi yang juga mempunyai kafe di dalamnya bahkan ia juga memberi satu galakan kepada orang ramai khususnya generasi muda untuk terlibat dalam aktiviti berbasikal sekali gus meningkatkan kehadiran pengunjung ke tempat ini,” katanya.

Bagi anda yang menggemari aktiviti berbasikal dan penggemar Kafe Kopi terutama peminat kopi BOXKL, jangan lepaskan peluang untuk datang bersantai di Lake Cabin, Pit Stop @ Anjung Floria, Putrajaya yang akan beroperasi pada setiap hari bermula pukul 7 pagi hingga 7 malam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas