Berita

WP bantu pesakit pasca COVID-19 kategori 5 di PPR Taman Wahyu 2

KAMARUZAMAN menyerahkan sumbangan wang tunai kepada Kamisah yang
- Diterbit 10 Oktober 2021 12:00 AM MYT

PENDERITAAN bekas pesakit pasca COVID-19 kategori 5 yang juga warga emas, Kamisah Majid mendapat perhatian Yayasan Wilayah Persekutuan
(YWP) selepas permohonan dibuat anaknya yang berpendapatan bulanan sebanyak RM600.

Ekoran daripada itu, pihak YWP menghulur bantuan tunai kepadanya berikutan kos memasukkan oksigen adalah sebanyak RM35 sehari.

Pengurus Bahagian Pembangunan Komuniti YWP, Kamaruzaman Mustapha berkata, bantuan yang disalurkan merupakan bantuan awal kepada warga emas berkenaan sebelum menerima bantuan lain daripada agensi berkaitan.

“Kes ini telah dipanjangkan kepada pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Parlimen Batu, Gulam Muzafar Gulam Mustakim, yang telah memaklumkan kepada pihak YWP dan kami berpendapat warga emas ini wajar dibantu.

“YWP telah menyerahkan bantuan segera berupa wang tunai bernilai RM500 bagi membantu seorang warga emas yang sedang menderita sindrom pasca-covid untuk kegunaan dan perubatan,” katanya kepada Wilayahku selepas menyerahkan bantuan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu 2 pada Selasa.

Menurut Kamaruzman, bantuan yang diberikan merupakan bantuan one-of sebelum beliau menerima bantuan daripada agensi lain seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Baitulmal.

“Pihak YWP tidak mempunyai bantuan khusus untuk bekas pesakit COVID-19, namun sekiranya ada kes-kes tertentu yang memerlukan bantuan segera, maka kami akan melihat terlebih dahulu.

“Buat masa ini pihak YWP hanya memproses bantuan segera sahaja dan kita akan mengenal pasti bantuan lain yang mungkin boleh disalurkan kepada pesakit ini,” katanya sambil menambah pihak YWP tidak memberikan bantuan khusus untuk pesakit kes seperti ini.

Dalam pada itu, Gulam Muzafar berkata, kebanyakan kes sindrom pasca-covid tahap empat dan lima memerlukan rawatan susulan di rumah selain melibatkan perbelanjaan yang agak tinggi.

“Sebelum ini, MPP tidak pernah terikir keperluan perubatan untuk pesakit seperti ini dan kebanyakan kita sediakan lampin pakai buang serta
kerusi roda.

“Tetapi apabila mereka memerlukan bantuan tong oksigen dan itu memerlukan perbelanjaan yang tinggi bagi proses pemulihan setiap pesakit ini.

“Kos pula difahamkan kirakira RM50 sehari dan untuk tempoh sebulan, mereka memerlukan kira-kira RM1,500 yang melibatkan kos isian gas oksigen sahaja,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kepada kerajaan untuk memperkenalkan bantuan tong oksigen memandangkan golongan berpendapatan rendah semestinya terbeban untuk mendapatkan bekalan tersebut memandangkan kosnya tinggi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas