Berita

Rampasan meningkat 558 peratus

ISMUNI (dua dari kanan) bersama pegawai dari beberapa agensi lain
- Diterbit 27 Disember 2019 5:13 AM MYT

Oleh MD KHAIRUL AZAD YUNUS
[email protected]

LABUAN – Sebanyak 48 premis makanan di sini dikenakan tindakan penutupan dengan nilai rampasan lebih RM13,000 sejak Januari hingga Disember tahun ini.

Daripada jumlah itu, 82 notis kompaun dikeluarkan yang mana Jabatan Kesihatan Labuan merekodkan peningkatan sebanyak 134 peratus berbanding tahun lalu, 35 notis sahaja.

Pengarah Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari berkata, penutupan premis juga meningkat pada tahun ini yang mana sepanjang 2018, hanya 25 premis dikenakan tindakan sama.

Jelas beliau, arahan penutupan dikeluarkan kepada premis terlibat adalah bagi tujuan pembersihan.

“Peningkatan kompaun pula disebabkan masih ramai pengusaha-pengusaha makanan tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 di dalam pengendalian makanan.

“Penguatkuasaan ini sekali gus menunjukkan sta­tus ke­­bersihan premis-premis makanan di Labuan perlu dipertingkatkan,” katanya se­lepas Operasi Penjualan Makanan Di Pasaran Sem­pena Hari Natal 2019 baru-­baru ini.

Menurut Dr. Ismuni, pihaknya turut merekodkan 4,568 bilangan makanan dengan nilai rampasan RM13,383 pada tahun ini.

Ujar beliau, jumlah tersebut meningkat 558 peratus berbanding hanya 694 bilangan makanan (rampasan RM5,642) pada tahun lalu.

“Peningkatan rampasan ini disebabkan isu pelabel­an dan akuan nutrisi yang tidak mematuhi peraturan dan penjualan makanan yang telah melepasi tarikh luput serta telah rosak.

“Di bawah Peraturan 14(9)(b) Peraturan-Peraturan Makanan 1985, menjual makanan yang telah melepasi tarikh luput adalah suatu kesalahan dan jika disabitkan peniaga boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun di bawah peraturan 397(2) peraturan yang sama atau boleh dikompaun sehingga RM3,500,” jelasnya.

Dr. Ismuni memberitahu, tindakan penguatkuasaan dilakukan mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Ujar beliau, langkah itu bagi memastikan premis, pengusaha makanan dan penjual mematuhi peraturan sekali gus melindungi pengguna daripada membeli makanan yang tidak selamat dan berkualiti rendah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas