Berita

PPj muncul juara Anugerah APIC 2019

TIAN CHUA (enam dari kiri) bergambar bersama Azizi (lima dari kiri) serta kakitangan PPj pada majlis penyampaian anugerah APIC 2019 di Pusat Konvensyen Sunway, Petaling Jaya baru-baru ini.
- Diterbit 27 Disember 2019 5:11 AM MYT

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) berjaya mempamerkan kecemerlangan apabila muncul juara Kategori Awam Negeri pada Persidangan dan Pameran Produktiviti dan Inovasi Tahunan (APIC) 2019 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Pusat Konvensyen Sunway, Petaling Jaya baru-baru ini.

PPj yang diwakili Kumpulan OSCXpert iaitu gabungan Jabatan Perancangan Bandar dan Jabatan Perkhidmatan Korporat telah berjaya menghasilkan Sistem Untuk Memantau Fasa Pembangunan Selaras Keperluan Manual OSC 3.0 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Kumpulan tersebut membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM4,000 berserta trofi dan sijil.

Menerusi sistem ini, PPj dapat menjimatkan kos sebanyak RM4.08 juta setahun dengan penjimatan masa sebanyak 20.6 hari.

Selain OSCXpert, PPj turut diwakili Kumpulan X-10 dari Jabatan Perkhidmatan Korporat dan Kumpulan K-Max dari Jabatan Perkhidmatan Bandar. Ketiga-tiga kumpulan ini turut menduduki senarai 20 pasukan terbaik dalam kategori sama.

Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Datuk Azizi Ahmad Termizi yang mewakili Presiden PPj di Malam Anugerah APIC 2019 tersebut melahirkan rasa kegembiraan bagi kejayaan berkenaan.

“Pertama kali dalam sejarah ketiga-tiga kumpulan mendapat kedudukan 20 teratas dan OSCXpert muncul sebagai johan.

“Ini membuktikan kerjasama secara hibrid di antara jabatan di PPj dapat menghasilkan inovasi yang cemerlang yang memenuhi penilaian panel juri profesional,” katanya.

APIC 2019 disertai 300 kumpulan dari 126 organisasi sektor swasta dan awam. Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking dan Pengerusi MPC, Tian Chua.

Azizi berkata, pihaknya berharap kejayaan tersebut akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan dalam bidang inovasi pada masa hadapan untuk PPj.

Tambahnya, komitmen serta sokongan penuh daripada pihak pengurusan PPj terutamanya Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim merupakan faktor utama penyumbang kepada kejayaan tersebut.

Menurutnya lagi, kumpulan OSCXpert telah membangunkan Sistem OSC 3.0 yang memudahkan pemantauan fasa pembangunan projek di Putrajaya.

“Sistem ini telah diiktiraf oleh KPKT dan dicadangkan untuk dipanjangkan penggunaannya ke semua pihak berkuasa tempatan dalam masa terdekat,’’ katanya.

Kumpulan X-10 pula telah mencipta smart trolley yang berkemampuan menarik beban sebanyak 800 kilogram. Ia digunakan untuk mengangkut peralatan seperti kerusi dan meja di Kompleks PPj bagi pengurusan acara rasmi PPj.

Smart trolley mampu menjimatkan lebih 50 peratus masa kerja yang digunakan sebelum ini.

Sementara itu, kumpulan K-Max berjaya menghasilkan produk yang boleh mengenal pasti beg biodegradasi yang dibenarkan dan beg konvensional semasa rutin penguatkuasaan dilaksanakan di premis-premis dalam Putrajaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas