Berita

Enam tahun ditemani air mata sambut Krismas

RONI menceritakan pengalamannya ketika Sambutan Natal baru-baru ini.
- Diterbit 27 Disember 2019 5:15 AM MYT

LABUAN – “Pertama kali menyambut Krismas secara sendirian enam tahun lalu amat memilukan dan ia merupakan detik paling sedih dalam hidup saya selain turut rasa kosong,” kata Roni, 33.

Menurut penghuni Pusat Koreksional Labuan (PKL) itu, lebih menyedihkan apabila dia juga tidak pernah dilawat keluarga sepanjang tempoh berkenaan.

Ujarnya, sambutan Hari Natal hanya dirai bersama rakan-rakan di PKL dan ia sedikit sebanyak menjadi pengubat rindu pada keluarga.

“Keluarga saya tidak mampu datang ke sini untuk melawat kerana berasal dari Kupang, Indonesia tetapi saya tetap bersyukur kerana setiap tahun ada kawan-kawan yang menemani di sini,” ujarnya.

Tidak menyembunyikan perasaannya, Roni memberitahu, dia sering menangis pada malam hari terutama ketika berseorangan kerana terlalu rindukan ahli keluarganya di kampung halaman.

“Kerinduan terhadap keluarga meningkatkan azam saya untuk berubah selepas ini dan segala pengalaman yang saya peroleh seperti kemahiran menjahit akan saya gunakan untuk mecari rezeki bagi membantu keluarga nanti,” katanya semasa ditemui pada Majlis Sambutan Hari Krismas Bersama Prison Fellowship Malaysia (Labuan Chapter) dan Majlis Jalinan Kasih Peringkat Penghuni PKL baru-baru ini.

Seorang lagi penghuni PKL yang mahu dikenali sebagai Stan menzahirkan rasa gembira kerana dapat bersemuka dengan ahli-ahli keluarganya sempena sambutan Hari Natal.

“Saya sangat gembira dapat bertemu keluarga kerana peluang ini sukar diperoleh. Program ini mendorong saya untuk berubah dan menjadi yakin apabila berhadapan dengan masyarakat bagi meneruskan kehidupan di luar nanti,” ujarnya.

Terdahulu wakil Prison Fellowship Malaysia, Jocelyn Teo menyampaikan sumbangan Krismas kepada Timbalan Penguasa Penjara, Shamlin Mohd. Tuali.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas