Berita

PPZ-MAIWP sasar 3,000 peserta Webinar Bangkit

AHMAD Shukri dan Dzulfaqar menunjukkan logo Webinar Bangkit pada Majlis Pelancaran Webinar Bangkit hari ini. AHMAD Shukri dan Dzulfaqar menunjukkan logo Webinar Bangkit pada Majlis Pelancaran Webinar Bangkit hari ini.
- Diterbit 25 September 2020 9:06 AM MYT

PRIHATIN terhadap orang ramai yang terkesan dengan pandemik COVID-19, Pusat Pungutan Zakat- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) akan menganjurkan seminar keusahawanan dalam talian secara percuma kepada orang ramai terutama warga Wilayah Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff berkata, Program Webinar Bangkit ini dianjurkan pihaknya sebagai menyahut seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk mengembleng tenaga membantu golongan yang memerlukan dan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Program ini dilakukan bagi membantu orang ramai yang berminat untuk memulakan perniagaan secara atas talian.

“Untuk sesi kali ini, kami menyasarkan kira-kira 3,000 peserta dan ia akan diadakan pada hari Rabu, 30 September 2020 dan pendaftaran secara online melalui bangkit.zakat.com.my bermula hari ini.

“Melalui program ini, para peserta akan dilatih untuk memasarkan produk dan perniagaan menggunakan saluran digital seperti Facebook, Instagram, pembinaan lama Web dan Youtube oleh mentor pemasaran digital yang berpengalaman,” katanya pada sidang akhbar sebelum Majlis Pelancaran Program Webinar Bangkit di Ibu Pejabat PPZ-MAIWP hari ini.

Ahmad Shukri berkata, pihaknya telah melantik Bumbu Agency sebagai mentor bagi menyediakan khidmat latihan dan bimbingan untuk program tersebut.

“Kami memilih Bumbu Agency disebabkan kepakaran mereka dalam bidang ini dan relevan untuk trend pemasaran semasa serta telah terbukti berkesan.

“Modul-modul yang disediakan juga adalah ringkas dan padat serta ia sesuai untuk digunakan para peserta di dalam program Webinar tersebut,” katanya.

Beliau berkata, program ini adalah susulan daripada program tanggungjawab sosial (CSR) PPZ-MAIWP, Program Bangkit iaitu satu program untuk membantu usahawan kecil di Wilayah Persekutuan untuk mereka bangkit kembali.

“Cuma nilai tambah selain daripada bantuan kewangan, kami juga memberi dalam bentuk kemahiran untuk mereka agar dapat memasarkan produk mereka secara digital melalui program ini,” katanya.

Kata Ahmad Shukri, Webinar Bangkit ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif Khaira PPZ untuk membantu peniaga kecil dan sederhana melalui program tanggungjawab sosial korporat iaitu Program Bangkit Khaira PPZ.

“Khaira PPZ mensasarkan 1,000 peniaga kecil untuk menerima sumbangan melalui inisiatif ini dengan peruntukan sebanyak RM1 juta sehingga hujung tahun ini.

“Setakat ini Khaira PPZ telah membantu seramai 483 peniaga kecil dan sederhana untuk bangkit semula menjalankan perniagaan mereka.

“Kami akan memilih beberapa orang peserta dari golongan B40 menyertai program bimbingan ini sehingga tamat dan akan diberikan bantuan modal antara RM1,000 hingga RM3,000,” katanya.

Dalam pada itu, Pengasas Bumbu Agency, Dzulfaqar Hashim berkata, sesi Webinar akan berlangsung dalam tempoh masa dua hingga tiga jam untuk sesi ini.

“Para peserta akan didedahkan dengan pemasaran digital dan kemudian mereka akan dihimpunkan di dalam Grup tertutup Facebook bagi tujuan bimbingan.

“Di dalam group tersebut, kesemua peserta akan diajar dengan modul-modul pemasaran melalui video dan juga bimbingan berterusan akan diberikan di dalam group tersebut,” katanya.

Mereka yang berminat untuk menyertai program bangkit ini boleh mendaftar secara dalam talian di bangkit.zakat.com.my. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas