Berita

Ramai hendak tahu konsep baharu jualan Ramadan – Annuar Musa

PANDU LALU RAMADAN
- Diterbit 13 April 2020 1:24 PM MYT

PUTRAJAYA – Konsep baharu jualan bagi menggantikan Bazar Ramadan yang dikemukakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan berjaya menarik perhatian pelbagai pihak termasuk Menteri-menteri Kabinet dan ketua-ketua agensi kerajaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci, beliau bersama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya telah diminta membentangkan konsep baharu jualan Ramadan kepada Jawatankuasa Peringkat Menteri bagi Memerangi Covid-19 pada Khamis ini.

“Ramai yang hendak tahu cara baharu ini. Sebelum ini saya sudah bentang dalam Kabinet konsepnya tapi tidak secara terperinci. Kali ini banyak menteri dan ketua agensi hendak tengok benda baharu yang kita hendak buat

“Kalau pandu lalu, mereka hendak tahu mana tempatnya, susun atur gerai dan berapa ramai boleh berniaga serta adakah ia menetapi kriteria sosial distancing,” katanya dalam sesi Live di laman Facebooknya hari ini.

Sesi itu turut disiarkan secara lansung melalui laman Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan dan Wilayahku.

Sebelum ini Annuar mengumumkan Wilayah Persekutuan tidak akan mengadakan operasi Bazar Ramadan ekoran ancaman wabak Covid-19 dan sebagai ganti diperkenalkan kaedah baharu iaitu jualan secara pandu lalu dengan setiap peniaga disusun mengikut segmen juadah yang siap berbungkus.

Keduanya, konsep ‘pack and pick’ di mana peniaga menyediakan makanan siap berbungkus mengikut tempatan yang dibuat lebih awal dan ketiga menggunakan e-hailing.

Selain itu, Yayasan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Annuar turut menawarkan khidmat e-iftar bagi mereka yang ingin menderma juadah berbuka puasa kepada golongan memerlukan.

Dalam pada itu, Annuar sekali lagi menjelaskan bahawa Bazar Ramadan tidak akan diadakan pada tahun ini dan perkara tersebut telah disepakati bersama para peniaga.

Susulan itu, beliau memberitahu, hasil perbincangan bersama kira-kira 100 wakil persatuan penjaja di Wilayah Persekutuan semalam, mereka bersetuju untuk memindahkan semua pembayaran bagi Bazar Ramadan yang telah dilakukan sebelum ini untuk program pada tahun hadapan.

“Saya suka runding dan berbincang dan terangkan, nak buat apa apa keputusan biarlah berunding atau pun syura. Setelah kita memahami satu-satu keadaan kita capai keputusan bersama.

“Jadi semalam 100 wakil dari pelbagai persatuan penjaja kita sepakat apa-apa bayaran yang telah dikeluarkan pada tahun ini, bayar deposit atau bayaran kepada penganjur kita setuju pindahkan ke tahun hadapan.

“Jadi tahun hadapan tidak perlu keluarkan apa-apa bayaran baharu. Mudah-mudahan tahun hadapan tidak ada masalah, kita dapat berniaga seperti biasa,” katanya. WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas