Yuran bulanan terpaksa dipotong, dana semakin susut
SEBAHAGIAN pelajar tahfiz yang berada di Maahad Tahfiz Dhiya Ul Islah

Yuran bulanan terpaksa dipotong, dana semakin susut

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itu yang dirasai oleh hampir 50 warga Maahad Tahfiz Dhiya Ul Islah yang terletak di Kampung Semarak, Kuala Lumpur.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung ketika ini memaksa maahad yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) ini memotong bayaran yuran pelajar memandangkan rata-rata ibu bapa tidak mampu untuk melunaskannya.

MOHD. NAZRI

Menurut Mudir maahad tersebut, Mohd. Nazri Abd. Rahman, hal itu terpaksa dilakukan kerana kebanyakan ibu bapa pelajar terdiri daripada golongan yang hanya cukup makan sahaja.

“Kita hanya ambil separuh sahaja yuran daripada jumlah penuh RM350 sebulan bagi seorang pelajar,” ujarnya.

Menurutnya, mereka mempunyai 45 orang pelajar dan 17 daripadanya terdiri daripada anak yatim, golongan asnaf dan lain-lain yang dikecualikan daripada membayar yuran.

Katanya lagi, sepanjang tempoh PKP, hanya 11 orang pelajar termasuk tenaga pengajar yang berada di asrama kerana faktor tempat tinggal yang jauh.

Mengakui terkesan dengan situasi yang melanda saat ini, namun dia reda dan tetap mementingkan pengajian agama pelajar-pelajar tahfiz di bawah jagaannya.

“Di sini kita menggunakan sistem talaqqi iaitu mempelajari al-Quran terus daripada sebutan guru. Kerana itu, dalam tempoh PKP ini, kita terpaksa mengadakan sistem secara dalam talian bagi pelajar yang pulang ke rumah.

“Namun paling menyedihkan, rata-rata ibu bapa tidak mampu untuk menambah data internet untuk mengikuti kelas pengajian dalam talian ini,” ujarnya sayu.

Akur dengan keadaan yang melanda saat ini, Mohd. Nazri berkata, dia dan tenaga pengajar lain tetap berusaha memikirkan cara yang terbaik agar pelajar tahfiz tetap terus bersemangat menghafaz al-Quran.

SESI pembelajaran dilakukan secara atas talian bersama pelajar.

Justeru, simpati dengan kesukaran Maahad Tahfiz Dhiya Ul Islah, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) tampil menyerahkan sumbangan berupa bantuan tunai berjumlah RM3,000 dan barangan keperluan asas bernilai RM1,000.

“Alhamdulillah syukur di atas keprihatinan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa dan YWP. Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban warga maahad.

“Saya berdoa agar negara kita bebas daripada wabak Covid-19 dan semoga pejuang barisan hadapan sentiasa terus bersemangat,” ujarnya.

Katanya lagi, dia turut berharap agar pada masa akan datang lebih ramai lagi pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain tampil memberi sumbangan kepada maahad tahfiz dan golongan susah di seluruh negara.

“Sejujurnya saya juga turut berterima kasih di atas keprihatinan semua pihak terutama kerajaan dalam menyampaikan segala bentuk bantuan selama ini,” ujarnya kepada Wilayahku.

Sebagai rekod, Maahad Tahfiz Dhiya Ul Islah dibangunkan pada tahun 2010 oleh Mohd. Nazri bersama rakan-rakannya yang merupakan pelajar tahfiz di Syria yang terpaksa di bawa pulang ke tanah air kerana faktor pergolakan negara tersebut ketika itu.

Selain pengajian al-Quran sebagai teras, pelajar turut didedahkan dengan aktiviti seperti memanah, qasidah serta taranum. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS