Berita

Ramai bakal pulang ke Kampung Baru

SUASANA sesi Town Hall di Dewan Perdana Felda baru-baru ini. -NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 26 September 2019 8:05 AM MYT

KUALA LUMPUR – Cadangan pembangunan semula Kampung Baru yang diusulkan pihak kerajaan bakal membawa pulang lebih ramai waris ke kampung tradisi itu sekiranya projek tersebut berjaya dilaksanakan.

Seorang pemilik tanah di kampung itu, Shaharudin Nordin, 70, berkata, dia yang kini tinggal di Gombak, Selangor sudah pasti dapat kembali semula ke kampung kelahirannya itu sekiranya pembangunan semula siap kelak.

“Saya pasti akan berpindah semula ke Kampung Baru setelah proses pembangunan dan pemodenan selesai dilaksanakan.

“Tidak ada sebab untuk saya tidak pulang selepas proses pembangunan selesai, sekarang keadaan dipenuhi warga asing, tidak teratur dan sesak,’’ kata­nya kepada Wilayahku selepas meng­hadiri sesi Town Hall Bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad di Dewan Perdana Felda di sini baru-baru ini.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 2,500 pemilik tanah dan waris di Kampung Baru itu, Khalid membentangkan pelan pembangunan se­mula kampung tradisi tersebut dengan tawaran pembelian tanah milik penduduk pada harga RM850 sekaki persegi berdasarkan pernilaian dilakukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dengan me­ngambil kira syarat tanah adalah kekal milik orang Melayu.

Cadangan pembangunan semula Kampung Baru akan memberikan fokus kepada 70 peratus projek perumahan manakala 30 peratus lagi untuk bangunan komersial.

Sebanyak 50 peratus daripada bilangan unit kediaman yang dibina pula adalah perumahan mampu milik bagi membolehkan orang Melayu membeli dan memiliki hartanah di Kampung Baru.

Kerajaan menyasarkan pada tahun 2050, penduduk Kampung Baru akan bertambah menjadi 160,000 orang dengan penambahan unit rumah kelak.

Shaharudin berkata, pihaknya telah menandatangani borang pemilihan bentuk pulangan yang dikehendaki bagi pembangunan semula tersebut.

Katanya, dia sebagai pemilik tanah mewakili adik-beradik memang bersetuju dengan cadangan pembangunan semula ini memandangkan bilangan waris sudah meningkat.

“Sekarang waris dan pemilik sudah mencecah 5,000 orang dan sekiranya tidak dilakukan sekarang, maka pembangunan ini pasti tidak dapat dilakukan pada masa hadapan apabila sukar mendapatkan kata putus semua waris yang terlibat,” katanya.

Kata Shaharudin lagi, isu Kampung Baru telah melalui beberapa menteri sebelum ini dan harga yang pernah ditawarkan se­rendah RM200 kaki persegi.

Dalam pada itu, Shaharudin berkata, pihaknya menyi­fatkan Town Hall yang diadakan baru-baru ini sebagai telus ber­ikutan Khalid sendiri menjawab persoalan yang di­ajukan pemilik dan waris selain pe­nerangannya mudah difahami.

“Town Hall ini merupakan sesi mesyuarat yang paling ramai yang pernah saya sertai malah ia berlangsung dalam keadaan aman tanpa sebarang ketegangan kerana saya sudah menyertai mesyuarat yang sama kira-kira 20 kali,’’ ujarnya.

Seorang lagi pemilik tanah, Noriah Osman, 50, berkata, Town Hall kali ini adalah lebih baik berbanding dua sesi sebelum ini kerana dapat mengetahui secara terperinci mengenai pembangunan yang hendak dijalankan.

“Dalam sesi ini, kita dapat tahu mengenai faedah yang akan diperoleh oleh pemilik jika menjual tanah dan mengetahui secara jelas masa depan Kampung Baru.

“Tentang harga tanah itu pula, bagi saya ia munasabah sebab kalau nak dibandingkan masa kami beli rumah dulu, harganya cuma RM5,000. Saya pilih pulangan secara tunai kerana ia akan selesai secara terus,” katanya yang kini menetap di Putrajaya.

Sementara itu, bagi se­orang lagi pemilik yang mahu dikenali sebagai Hawa pula menganggap, tawaran baharu yang dikemukakan ke­rajaan itu lebih menarik ke­rana harga yang ditawarkan agak tinggi berbanding apa yang pernah dikemukakan oleh menteri terdahulu.

“Namun dari segi harga, saya mohon kepada pihak menteri untuk menaikkan sedikit supaya pulangan yang bakal diterima oleh pemilik dan waris boleh dianggap berbaloi.

“Bagi saya sekiranya harga dinaikkan kepada RM900 dan mungkin beberapa faedah yang lain akan menarik minat pemilik seperti saya memberi­kan kerjasama kepada ke­rajaan untuk membangunkan Kampung Baru,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas