Berita

Khalid tunjuk surat nilaian harga Kampung Baru

SURAT JPPH
SURAT JPPH berkenaan nilaian tanah Kampung Baru.
- Diterbit 26 September 2019 5:49 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Bagi membuktikan ketulusan dalam tawaran harga bagi pembangunan semula Kampung Baru, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad menyiarkan surat permohonan anggaran nilai tanah bagi kawasan penempatan pertanian segi tiga emas berkenaan.

Siaran cadangan nilai tanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) itu dibuat semasa Khalid berlintas langsung menerusi Program Politikonomi Radio Televisyen Malaysia 1 (RTM 1), malam tadi.

Surat tersebut sekali gus menjawab persoalan yang diajukan pemilik serta pewaris Kampung Baru semasa sesi Town Hall Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Penduduk Kampung Baru pada 21 September lalu.

Pada sesi itu, pemilik dan pewaris meminta Khalid menunjukkan surat penilaian tanah Kampung Baru yang dibuat oleh JPPH iaitu agensi kerajaan di bawah Kementerian Kewangan.

Surat daripada Penilai Daerah JPPH Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu turut memaklumkan nilai tanah yang dibuat pada 10 Mei 2019 adalah antara RM7,000 hingga RM9,150 semeter persegi (RM650 – RM850 sekaki persegi).

Selain itu, surat berkenaan menyatakan anggaran nilaian yang dilaporkan mengambil kira beberapa perkara iaitu kategori kegunaan tanah adalah bangunan dan syarat nyata kediaman serta sekatan kepentingan bahawa tanah tidak boleh dipindah milik kepada bukan Melayu.

Kategori lain yang dinyatakan adalah lot subjek dizonkan sebagai kawasan Perdagangan Pusat Bandar Raya (CCC) dengan nisbah plot 1:10.0 serta pegangan hak milik kekal yang mana lokasi dan kedudukan tapak lot subjek terletak di Kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Kampung Baru. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas