Berita

PPZ-MAIWP lancar logo Khaira

AHMAD SHUKRI (tengah) bersama anak-anak di Rumah Perlindungan Nur Qaseh Taman Melawati baru-baru ini semasa Majlis Pelancaran dan Penyerahan Sumbangan 'Food For Us'.
- Diterbit 26 September 2019 8:10 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) baru-baru ini melancarkan logo rasmi bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Khaira dengan tagline ‘Sebarkan Kebaikan’.

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Ahmad Shukri Yusoff berkata, program Khaira dilaksanakan bagi meningkatkan pembangunan ummah agar lebih ramai masyarakat menunaikan zakat sekali gus kitaran antara pembayar zakat dan asnaf dapat di­seimbangkan.

“Ia juga sebagai usaha untuk mempamerkan Islam sebagai agama yang membawa nilai-nilai rahmah kepada sekalian alam termasuk menyantuni golongan asnaf, komuniti masyarakat dan persekitaran.

“Pendekatan program CSR ini adalah sebahagian dari usaha PPZ-MAIWP dalam meningkatkan kutipan zakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan Sumbangan ‘Food For Us’ di Rumah Perlindungan Nur Qaseh Taman Melawati di sini baru-baru ini.

Menurut Ahmad Shukri, program Khaira akan dilebarkan dengan beberapa penjenamaan antaranya Khaira Care, Khaira Mindset, Khaira Run, Khaira Preneure dan Sahabat Khaira.

Ujarnya, pihak PPZ-MAIWP di bawah Khaira Care te­lah menyumbang sebanyak RM8,700 dalam bentuk bara­ngan basah dengan kerja­sama MOSAFER iaitu pes Maznah untuk bekalan makanan selama dua bulan.

Katanya, aktiviti ini juga melibatkan Badan Kebajikan Kakitangan PPZ-MAIWP (BAKEP) dengan menjalankan gotong-royong memasak hidangan tengah hari dan menjalankan aktiviti pendidikan bersama penghuni rumah perlindungan tersebut.

Dalam perkembangan lain, pada majlis itu turut diadakan aktiviti ‘Food for Us’ bersama penghuni yang terdiri dari­pada anak yatim dan pihak pengurusan Rumah Perlin­dungan Nur Qaseh.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas