Agama

Doa ummah kini terjawab

RASULULLAH SAW dan sahabatnya menunjukkan masjid
- Diterbit 27 Mac 2022 2:30 AM MYT

APRIL tahun ini adalah April yang paling bermakna buat umat Islam di Malaysia. Ini bukan sahaja disebabkan tibanya Ramadan, bulan rukun Islam ketiga iaitu puasa ditunaikan, tetapi kali ini April akan bermulanya masa sukatan dan sekatan untuk memakmurkan masjid serta surau akan ditamatkan. Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan fasa peralihan negara ke endemik barubaru ini, turut dimaklumkan bahawa masjid dan surau boleh diimarahkan tanpa perlu melakukan penjarakan fizikal serta sukatan kapasiti.

Ini adalah satu perkara yang sangat bermakna kepada umat Islam yang selama ini merekalah komuniti paling taat dengan segala arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan. Ketika pasar raya dan stadium bersesak-sesak diasak pengunjung serta penonton, mereka yang memakmurkan rumah Allah tetap patuh dengan segala SOP ditetapkan.

Walaupun hati mereka sebenarnya menangis, apa yang mampu mereka lakukan ialah mensyukuri sambil berdoa untuk perkara ini segera berakhir. Apa yang penting, masjid dan surau dapat terus dimakmurkan sesempurna mungkin kerana ia adalah hidup dan jati diri hakiki umat ini sebagaimana mereka warisi daripada Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW dan sahabatnya menunjukkan dengan jelas melalui kehidupan mereka, betapa besarnya erti serta kedudukan masjid dalam kehidupan Muslimin. Masjid pada masa itu benar-benar menjadi paksi kepada putaran kehidupan harian mereka. Secara umumnya masjid telah diimarahkan 24 jam sehari dengan empat kategori amalan utama iaitu dakwah, pengajaran ilmu, ibadah dan khidmat. Bukan itu sahaja, malahan untuk perkara yang kelihatan remeh pun, perhatian mereka akan tertumpu kepada masjid.

Oleh itu, adalah tidak menghairankan jika untuk urusan yang lebih besar dan penting, semuanya akan diadakan di masjid. Masjid benar-benar menjadi nukleus kehidupan mereka dan perkara ini diwariskan dari generasi ke generasi umat.

Itulah sebabnya, Rasulullah SAW memerintahkan masjid dibina di setiap penempatan yang ada. Di dalam satu hadis Riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda, “Secinta-cinta tempat di sisi Allah Taala bagi sesuatu kawasan ialah masjidnya…”

Apakah ada satu perkara yang lebih mulia daripada satu perkara yang paling Allah Taala cinta? Bagi mereka yang benar-benar beriman, satu hadis ini sahaja pun sudah memadai untuk memahamkan mereka betapa pentingnya masjid dan pengimarahannya kepada umat ini.

Semoga nikmat dan sinar Ramadan yang akan tiba bersama dengan era peralihan ke endemik negara, tidak disia-siakan oleh umat Islam di negara ini. Setiap lapisan ummah baik di peringkat Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam mahupun anak kariah, semuanya perlu dengan penuh kesungguhan dan keimanan, berlumbalumba untuk mengimarahkan masjid semirip mungkin sebagaimana cara yang diwariskan oleh Rasulullah SAW kepada umat ini.

Penulis merupakan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Putrajaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas