Berita

Rakyat Malaysia perlu hantar mesej perpaduan hadapi pihak yang sering mainkan isi perkauman

KHALID (kanan) bersama Saifuddin Nasution (dua kanan) dan Chin Aun hadir merasmikan Kejohanan Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad di Stadium Rhino Kv Arena Shah Alam hari ini.
- Diterbit 12 Januari 2020 7:31 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY

[email protected]

SHAH ALAM – Rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama harus bersatu padu melawan mana-mana pihak yang cuba menjadikan isu perkauman sebagai senjata politik.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, cara terbaik untuk melawan pihak yang gemar memainkan isu perkauman adalah dengan menghantar mesej perpaduan sebagai rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia berbilang kaum sentiasa menghargai kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat kita, ini merupakan satu mesej yang cukup penting.

“Kita perlu ulangi berkali-kali dan lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang di mana khususnya pihak yang tidak setuju dan tidak menyokong kerajaan semasa dan mereka cuba timbulkan isu perkauman tidak habis-habis dan semua isu dikaitkan dengan soal kaum, inilah satu perkara yang kita harus lawan (isu perkauman),” katanya selepas merasmikan Pertandingan Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad di Stadium Rhino Kv Arena Shah Alam hari ini.

Program anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) Shah Alam itu turut hadiri lagenda bola sepak tanah air, Datuk Soh Chin Aun; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, salah satu cara untuk menyampaikan mesej perpaduan adalah dengan menganjurkan pertandingan sukan.

“Pertandingan yang pertama kali dianjurkan ini berjaya mengumpulkan 16 pasukan dengan disertai pemain dari kaum berketurunan India, Melayu, Cina, Iban dan Murut.

“Ia merupakan kekuatan sebenar rakyat Malaysia dan pertandingan ini adalah untuk menyampaikan mesej bahawa kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan akan sentiasa memelihara perpaduan antara kaum,” katanya.

Kata Khalid, pertandingan bola sepak tersebut akan dijadikan sebagai acara tahunan selain merancang memperluaskannya kepada pelbagai jenis sukan lain.

“Kita akui bahawa sukan merupakan antara aktiviti yang boleh menyatupadukan semua kaum,” katanya.

Tambah Khalid, perpaduan pelbagai kaum yang diamalkan di Malaysia menjadi contoh dan sering mendapat pujian masyarakat antarabangsa.

“Kalau kita tengok orang luar datang ke Malaysia kerana ada orang Melayu dan Islam. Pelancong dari Asia Barat datang ke sini, mereka berasa selesa. Pelancong dari China, Taiwan dan Hong Kong pula apabila datang sini mereka rasa selesa kerana ada masyarakat Cina.

“Pelancong dari India apabila datang ke sini, mereka rasa seperti di rumah tanpa ada kekhuatiran akan dilayani dengan kasar kerana mereka nampak kaum yang berasal dari negara mereka turut berada di sini juga,” katanya

Malah kata beliau, dunia ini semakin wujud suasana kepelbagaian seperti di Eropah sudah ramai orang Asia berhijrah ke sana.
“Orang luar melihat bagaimana Malaysia boleh mengekalkan perpaduan, inilah yang kita hendak zahirkan sebagai satu simbol dan ikon untuk kepelbagaian kaum di Malaysia untuk dunia,” katanya.

Terdahulu Chin Aun dalam ucapannya menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk terus hidup bersatu hati dan memelihara perpaduan agar kemakmuran yang dikecapi ini berkekalan.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas