Berita

UniKL juara Piala Sumbangsih 2020

UniKL SUMBANGSIH
SKUAD UniKL meraikan kemenangan selepas menjuarai Piala Sumbangsih 2020. SKUAD UniKL meraikan kemenangan selepas menjuarai Piala Sumbangsih 2020.
- Diterbit 11 Januari 2020 7:41 AM MYT

Oleh MUHAMAD NABEEL
[email protected]

KUALA LUMPUR – Roel Bovendeert, penyerang import pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), muncul wira pasukkannya apabila meledak gol kemenangan menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) 3-2 bagi menjulang Piala Sumbangsih di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil.

Keseluruhan perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan kekuatan yang seimbang dengan berbalas serangan namun UniKL ternyata lebih cemerlang apabila bijak menggunakan peluang yang ada.

Pemain pertahanan UniKL dan juga pemain kebangsaan, Razie Rahim membuka tirai jaringan pada minit ke-19 dengan pukulan sudut penalti sebelum pemain THT, Faizal Saari bersama seorang lagi pemain kebangsaan meletakkan THT di hadapan pada minit ke-25 dan 26.

Namun, Razie sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring apabila kembali mengimbangi kedudukan selepas berjaya meledak gol pada minit ke-37 sebelum Boveendert menjaringkan gol kemenangan UniKL pada minit ke-50.

Ketua Jurulatih UniKL, Arul Selvaraj bukan hanya gembira dengan persembahan yang ditunjukkan anak buahnya malah turut memuji ketajaman sentuhan penyudah Razie.

“Kami bermula dengan bagus tetapi pada satu ketika, permainan kami mula kelam-kabut apabila kerap hilang bila di bahagian pertahanan. Saya menjerit lebih kuat sambil mengarahkan pemain supaya bertenang dan menolak bola ke tepi.

“Kami memanfaatkan peluang yang ada dengan Razie menyempurnakan dua pukulan penalti. Itu merupakan kekuatan utama dia selain mengemudi barisan pertahanan semalam,” katanya.

Pasukan UniKL menerima trofi Piala Sumbangsih yang disampaikan Presiden Konfiderasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas