Berita

Seni khat, jawi perlu dipelajari secara mendalam – Fahmi Fadzil

FAHMI menunjukkan hasil seni khat yang di tulis ketika mengikuti Bengkel Kaligrafi Seni Khat dan Jawi yang dikendalikan Ahmad Abdul Hadi dari Huroof Seni.
- Diterbit 12 Januari 2020 9:20 AM MYT

 

Oleh HELMI MOHD. FOAD

KUALA LUMPUR – Mempelajari seni khat dan tulisan jawi tidak sewajarnya menjadi isu kerana ia merupakan sebahagian daripada budaya dan warisan negara ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya berharap rakyat berbilang kaum di negara ini dapat memahami dengan lebih mendalam seni warisan negara itu.

“Kita jelas, bagi saya semua bentuk seni yang kita tonjolkan terutamanya seni khat dan tulisan jawi adalah sebahagian daripada budaya kita.

“Harapan saya agar kita boleh mengambil peluang untuk lebih memahami supaya jurang yang wujud atau yang sengaja diwujudkan dapat  diatasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Kaligrafi Seni Khat dan Jawi di Perpustakaan Awam Kerinchi di sini hari ini.

Ia merupakan anjuran bersama Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Majlis Perwakilan Penduduk Zon Lembah Pantai, Persatuan  Kebajikan Harapan Utama Kuala Lumpur dan Huroof Seni.

Seramai kira-kira 80 peserta kanak-kanak dan orang dewasa daripada pelbagai kaum menghadiri bengkel tersebut.

JAWI
SEBAHAGIAN peserta bukan Melayu turut mempelajari teknik menulis khat dan tulisan jawi.

Fahmi menjelaskan, pihaknya kesal apabila sebelum ini ada pihak yang mendakwa beliau membelakangkan tulisan jawi kerana menganjurkan bengkel Kaligrafi Cina di kawasan Parlimen tersebut baru-baru ini.

“Saya terasa kerana ada juga komuniti Cina beragama Islam yang turut menyambut Tahun Baru Cina dan masih amalkan kaligrafi Cina.

“Jadi kita perlu kikis tanggapan tentang kaum dan agama kerana di Malaysia ada pelbagai kaum, ada Cina Muslim, India Muslim dan Orang Asli Muslim. Dari sini kita lihat Islam adalah rahmat bagi sekelian alam,” katanya.

Difahamkan Bengkel Kaligrafi Cina sebelum ini diawalkan penganjurannya bagi membolehkan peserta dari kaum Cina dapat membuat persiapan sempena Tahun Baru Cina.

Selepas ini, Fahmi turut merancang mengadakan Bengkel Kaligrafi India. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas