Berita

Rakyat beratur panjang mahu bersalam dengan Agong

AGONG
YANG Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bersalaman dan bermesra dengan orang ramai selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya.
- Diterbit 2 Ogos 2019 9:51 AM MYT

HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menunaikan solat Jumaat bersama ribuan rakyat di Masjid Putra di sini hari ini.

Seri Paduka yang berbaju Melayu berwarna putih berangkat tiba di masjid berkenaan pada pukul 1.20 tengah hari disambut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Hadir sama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad.

Sebelum menunai solat Jumaat, Seri Paduka bersama para jemaah mendengar khutbah khas bertajuk ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’ sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang berlangsung 30 Julai lepas yang disampaikan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Selepas selesai solat Jumaat, Sultan Abdullah berkenan bersalaman dengan rakyat jelata yang bersiap-sedia beratur panjang dari dalam masjid hingga ke pintu gerbang masjid berkenaan.

Masing-masing mengambil kesempatan untuk melihat dari dekat wajah Seri Paduka yang begitu dikenali sebagai seorang raja yang berjiwa rakyat.

Terdahulu Syaikh Ismail dalam khutbahnya yang dipancarkan secara langsung melalui RTM menyeru seluruh umat Islam agar menumpahkan sepenuh taat setia kepada kepimpinan Sultan Abdullah selaku ketua agama dan ketua negara supaya kerukunan negara ini sentiasa terpelihara.

Teks khutbah yang sama turut dibaca serentak di seluruh masjid di Wilayah Persekutuan.

Shaikh Ismail berkata, kewujudan institusi raja di Malaysia perlu difahami dengan jelas oleh seluruh lapisan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, umur dan latar belakang pendidikan.

”Kita perlu menyedari asas pembinaan negara yang berkait rapat dengan populasi utama penduduk negara ini, yakni orang Melayu mempunyai sejarah kegemilangannya tersendiri melalui kesultanan-kesultanan Melayu,” katanya.

Katanya, kewujudan institusi raja mampu memastikan orang Melayu terus kekal dilindungi agamanya, yakni agama Islam dan di samping meneruskan peranan raja mendaya upaya kepentingan-kepentingan umat Islam dalam negara ini.

”Melihat semula kepada sejarah, kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah mengubah peranan raja sebagai khalifah atau pemimpin dalam membimbing rakyat mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh syariah,” katanya.

Ujarnya, keadilan ialah aspek utama dalam menunaikan pemerintahan yang menjadi suruhan dan pertanggungjawaban oleh Allah kepada wakil-Nya di muka bumi bagi menjalankan amanah kekhalifahan.

”Seluruh rakyat jelata selama ini telah menjadi saksi serta menyanjungi kesantunan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mencemar duli dalam menyelami hal ehwal rakyat dan negara, dengan penuh pengharapan agar ia terus dilangsungkan sepanjang pemerintahan,” katanya.

Dalam pada itu, Shaikh Ismail mengingatkan tentang terdapat segelintir pihak yang sengaja melemparkan persepsi negatif terhadap institusi beraja.

”Terdapat juga individu yang semakin berani menghina para sultan dan raja di Negara ini. Ada juga kalangan kumpulan yang sengaja mempertikaikan kuasa-kuasa Yang Di-Pertuan Agong seperti mempertikaikan Perkara 153, iaitu tanggungjawab memelihara hak istimewa orang Melayu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas