Berita

DBKL siasat punca kerosakan lif

MANGSA LIF
BEBERAPA mangsa yang cedera selepas lif yang dinaiki terhempas diusung keluar bagi mendapatkan rawatan lanjut di hospital.
- Diterbit 2 Ogos 2019 2:20 PM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyiasat dengan lebih terperinci punca kerosakan lif yang mengakibatkan lapan penggunanya cedera.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan tersebut akan dilakukan bersama-sama syarikat penyenggaraan lif dan siasatan dijangka mengambil masa selama dua minggu.

“Siasatan ini penting bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang. Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan akan mengadakan perjumpaan dengan semua kontraktor penyelenggara lif di perumahan awam dan bangunan-bangunan milik DBKL secepat mungkin.

“Dalam perjumpaan itu nanti, beliau akan mengarahkan semua kontraktor lif untuk meningkatkan serta memperketatkan kawalan dan penyelenggaraan semua lif di samping mengutamakan keselamatan pengguna lif sepanjang masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, DBKL turut menyatakan, siasatan awal yang dilakukan mendapati lif tersebut telah diselenggara mengikut jadual dan teratur iaitu satu kali servis dalam tempoh sebulan malah mempunyai Sijil Permit Mesin Angkat (PMA) yang sah sehingga 16 Januari 2020.

Tambah kenyataan itu lagi, mengikut rekod, syarikat yang menyenggara lif tersebut adalah firma yang kompeten dengan merujuk kepada senarai Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerja (JKKP).

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang tadi, lapan cedera termasuk seorang patah kaki apabila sebuah lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur terhempas dari tingkat lima.

Kesemua mangsa telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan sebahagiannya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Atas rasa simpati terhadap kejadian tersebut, Datuk Bandar Kuala Lumpur akan membiayai semua kos perubatan hospital mangsa-mangsa yang terlibat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas