Futsal wanita negara perlu liputan

INTAN SARAH

INTAN cekap menahan bola daripada terlepas kepada pasukan lawan.

Oleh AINI MAWAWI
ainiwilayahku@gmail.com

DINOBAT sebagai pemain terbaik kejohanan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 September lalu merupakan detik indah bagi pemain kelahiran Kuala Lumpur, Intan Sarah Anisah Zulgafli, 20.

Ternyata kemenangan yang tidak disangka itu menjadi pengukur kejayaannya dalam sukan yang amat diminatinya itu. Malah, secara tidak langsung ia turut menjadi pembakar semangat buatnya untuk pergi lebih jauh lagi.

Menyingkap detik kemenangannya, pemain yang merupakan antara tonggak utama skuad Kuala Lumpur ini mengakui dia sama sekali tidak menyangka kemenangan berpihak kepadanya memandangkan terdapat ramai lagi pemain yang lebih layak.

BARISAN pemain pasukan futsal Wilayah Persekutuan.

“Sejujurnya saya begitu teruja apabila menerima penghargaan ini. Sekurang-kurangnya sepanjang lima tahun penglibatan secara serius dalam futsal, ia menampakkan hasil.

“Ini bukan kemenangan saya seorang tetapi hasil kerjasama yang padu antara semua pemain. Pada masa sama, ia terus menyuntik semangat buat diri ini untuk menggapai lebih banyak lagi kejayaan di peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Intan yang berada di posisi penyerang berjaya menjaringkan sembilan gol sepanjang kejohanan melawan Selangor.

Ekoran itu, dia mengharapkan agar pada masa hadapan pasukan futsal wanita negara mendapat tumpuan media seperti futsal kategori lelaki.

“Antara cabaran paling besar yang dihadapi oleh pasukan futsal wanita adalah kami tidak begitu mendapat liputan meluas seperti mana sukan lain. Pendek kata, ia tidak begitu popular di mata rakyat Malaysia mungkin kerana tidak begitu ditonjolkan.

“Perkara itu sedikit sebanyak menyebabkan kami terpaksa berehat lama untuk menunggu kejohanan seterus­nya. Bayangkan kadang-kadang kami menanti empat bulan hingga satu tahun untuk beraksi,” ujar pelajar tahun dua Ijazah Pengurusan Sukan, Universiti Malaya ini.

Menurut Intan, sama se­perti kebanyakan pemain futsal yang lain, dia juga tidak lepas diburu perasaan bimbang seandainya tidak mampu mempertahankan kejuaraan setiap kali perlawanan.

“Ia adalah hal yang sukar diramal namun setiap kali perlawanan, saya cuba melakukan yang terbaik. Sekurang-kurangnya jika kalah sekalipun saya tidak berasa menyesal,” ujarnya.

Menyimpan hasrat tinggi untuk beraksi di Kejohanan Futsal FIFA Piala Dunia suatu hari nanti, dia ingin membentuk sebuah tim futsal yang dikendalikan olehnya sendiri.

“Itu adalah impian saya. Namun sebelum itu, saya akan memastikan diri ini mencapai tahap yang membanggakan negara dahulu seperti membawa Malaysia ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Bermain seawal usia lima tahun

Bercerita tentang kisah awal penglibatannya, menurut anak ketujuh daripada lapan orang adik-beradik ini, dia mula bermain futsal ketika usia lima tahun dan diajar oleh abang-abangnya pada setiap petang.

“Setiap hari mereka akan membawa saya turun bersama dan mengajar saya tentang selok-belok permainan ini. Malah mereka juga pernah bergurau untuk menjadikan saya seorang pemain futsal apabila dewasa.

“Dahulu rumah kami terletak berhampiran dengan gelanggang futsal. Disebabkan itu jugalah ibu tidak kisah andainya abang membawa saya bermain bersama. Jika difikirkan kembali, saya sama sekali tidak menyangka mampu pergi jauh seperti ini,” tuturnya.

Menyifatkan dirinya agak beruntung mendapat restu dari keluarga, Intan mengakui perjalanannya dalam sukan tersebut amat lancar.

“Alhamdulillah. Saya juga dikelilingi rakan-rakan yang sentiasa positif. Malah rakan baik yang juga rakan sepasukan, Siti Asnidah Zamri tidak putus-putus memberi tunjuk ajar kepada saya.

“Secara tidak langsung, Siti Asnidah yang pernah memenangi anugerah pemain terbaik MPFL pada tahun lalu itu juga merupakan salah seorang idola saya dalam sukan ini,” ujar Intan.

Kongsikan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Penafian: Semua Komen di bawah tidak mencerminkan pendirian atau pandangan Wilayahku, ia merupakan pandangan peribadi penulis.