Berita

Putri Erinna kongsi tips pengucapan awam

PUTRI Nur Erinna mendapat Anugerah Kepimpinan Pengucapan Awam dalam Anugerah Tokoh Siswa 2020.
- Diterbit 19 November 2021 3:42 AM MYT

MENONTON ucapan dan penyampaian seseorang adalah antara tips yang digunakan oleh penerima Anugerah Kepimpinan Pengucapan Awam ini sebelum berucap di khalayak ramai.

Putri Nur Erinna Amir, 21, berkata antara latihan yang dilakukan untuk mengurangkan perasaan gementar apabila berhadapan dengan orang ramai adalah dia akan menganalisis cara penyampaian orang-orang ternama seperti Bill Gates, Elon Musk dan Steve Jobs.

“Saya akan cuba analisis cara penyampaian mereka termasuk lenggok bahasa badan yang digunakan dan mengubahnya mengikut keselesaan.

“Selain itu, saya juga akan minum air dan mendapatkan tidur yang secukupnya sebelum pertandingan berlangsung,” Katanya kepada Wilayahku.

Mula melibatkan diri dalam pengucapan awam sejak di bangku sekolah rendah, Putri Nur Erinna meneruskan bakatnya dalam bidang tersebut di peringkat universiti sehingga berjaya mendapat pengiktirafan daripada Communication University of China.

“Antara pencapaian tertinggi saya adalah mendapat Excellent Award dalam The 18th “CHINEESE BRIDGE” Chinese Proficiency
Competition Malaysia 2019 yang dianjurkan oleh Kongzi Institute, University of Malaya.

“Bagi memperkasakan pengucapan di dalam pertandingan ini, saya banyak mendengar lagu dan menonton drama mandarin untuk berlatih sebutan bahasa Mandarin supaya menjadi lancar.

“Selain itu, saya turut merujuk dan meminta pendapat pensyarah
mandarin di UiTM mengenai intipati teks ucapan dan menilai tahap kefasihan bahasa ketika menyampaikan pengucapan awam tersebut agar dapat memperbaiki kekurangan sebelum pertandingan,” kongsi pelajar yang berasal dari Sungai Petani, Kedah ini.

Tambahnya, dia juga turut berjaya menarik penglibatan penyertaan pelajar dari negara China, Indonesia dan Amerika Syarikat melalui Program International Public Speaking 2019 yang dianjurkan olehnya.

“Pertandingan ini memerlukan para peserta menyampaikan pengucapan awam dalam bahasa melayu serta isi teks bertemakan
warisan, kebudayaan dan keseniaan kaum cina,” katanya.

Kejayaan penganjuran program ini membuatkan dirinya berjaya merangkul Anugerah Tokoh Siswa 2020, baru-baru ini.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Kementerian Pengajian Tinggi kerana menganugerahkan saya dengan pencapaian tertinggi ini di samping
menghargai usaha serta hasil pencapaian program-program yang
dianjurkan oleh anak muda seperti saya sewaktu di universiti.

Berkongsi tentang perancangan masa hadapanya, Putri Nur Erinna mahu melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Muda di samping berharap pencapaiannya ini dapat menyuntik semangat dalam kalangan pelajar-pelajar terutama siswa dan siswi di Universiti Teknologi Mara untuk mengharumkan nama institusi yang tercinta seterusnya berbakti kepada masyarakat di Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas