Berita

Menyingkap 1001 rahsia kepimpinan cemerlang

AMIRUL Faiz Abdul Latif menerima Anugerah Kepimpinan Wacana Intelek dan Anugerah Menteri Pengajian Tinggi.
- Diterbit 19 November 2021 3:34 AM MYT

JAGA hubungan dengan Allah dan manusia, selain membahagikan masa di antara keperluan akademik dan kepimpinan menjadi rahsia kejayaan penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Amirul Faiz Abdul Latif, 28, selepas dinobatkan sebagai penerima Anugerah Menteri Pengajian Tinggi dalam Anugerah Tokoh Siswa peringkat Kebangsaan 2020, baru-baru ini.

Selain daripada Anugerah tersebut, Pelajar Ijazah Sarjana Teknologi Kejuruteraan Awam ini turut mendapat Anugerah Kepimpinan Wacana Intelek dan juga merupakan pelajar terbaik UTHM dalam bidang kepimpinan.

Mula melibatkan diri secara aktif dalam bidang kepimpinan ketika sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah Sarjana Muda, dia telah menerima beberapa anugerah dan pencapaian terbaik  antaranya menjadi Felo Perdana kepada Menteri Kanan Kerja Raya, naib johan Debat Diraja Kebangsaan, naib johan Pertandingan Debat Pengurusan Kebangsaan dan banyak lagi.

Menurut Amirul Faiz, setiap orang mempunyai usaha dan cara tersendiri namun baginya menjaga
hubungan dengan Allah dan mendapat keberkatan doa daripada kedua ibu bapa adalah rahsia disebalik kejayaannya.

“Tiada spesifikasi rahsia kejayaan tetapi saya akan sentiasa berusaha menjaga hubungan dengan Allah seperti solat pada awal waktu, mendekatkan diri dengannya selain mentaati dan menghormati kedua ibu bapa adalah antara amalan yang sentiasa saya lakukan.

“Selain itu, memandangkan saya terlibat di dalam bidang kepimpinan, pembahagian masa di antara akademik dan aktiviti luar mendorong saya membuat jadual kendiri seperti ‘to do list’ untuk menyenaraikan setiap tugasan penting yang perlu saya selesaikan. Bagi saya, jadual ini sangat penting
kerana ia membantu saya untuk menyelesaikan kerja di samping semua pekerjaan lebih teratur,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Mengulas mengenai kejayaannya di dalam ATS 2020, Amirul Faiz menyatakan dia tidak  menyangka dan terkejut sewaktu diumumkan sebagai penerima Anugerah Menteri Pengajian Tinggi.

“Ketika diumumkan, saya sangat terkejut kerana kelima-lima calon yang disenaraikan untuk menerima anugerah tersebut mempunyai latar belakang dan pencapaian yang sangat hebat. Perasaan bersyukur dan gembira tidak mampu diungkapkan oleh saya kerana saya sendiri tidak menyangka akan menerima
pencapaian tersebut.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada kedua ibu bapa yang sentiasa menyokong dan mendoakan kejayaan termasuk pensyarah merangkap mentor yang mendedahkan saya dengan anugerah serta menyokong daripada awal penglibatan dalam bidang kepimpinan sehingga kini.

“Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih juga buat Menteri Pengajian Tinggi dan semua yang terlibat di atas usaha menghargai kecemerlangan mahasiswa. Penganugerahan ini bukan sahaja untuk
kami tetapi semua mahasiswa yang turut menyokong dan membantu,” jelas pelajar yang berasal dari Pekan, Pahang ini.

Pada 9 November lalu, Amirul Faiz telah menerima dua anugerah iaitu Anugerah Kepimpinan Wacana Intelek dan Anugerah Khas Menteri Pengajian Tinggi.

Beliau menerima hadiah bernilai RM3,000 ringgit, Trofi, Biasiswa Tokoh Siswa beserta sijil bagi kategori Anugerah Menteri Pengajian Tinggi manakala kategori Anugerah Kepimpinan Wacana Intelek pula mendapat geran sebanyak RM2,000, trofi dan sijil. – WILAYAHKU

PENCAPAIAN TERBAIK AMIRUL FAIZ

Pencapaian kebangsaan/antarabangsa:

2012 – Johan Debat Alam Sekitar Antara IPT
2012 – Wakil Malaysia ke ASEAN Youth Forum on Green Consumption
2013 – Naib Johan Pertandingan Debat Perpaduan dan Integrasi Nasional
2014 – Naib Johan Pertandingan Debat Diraja Kebangsaan
– Naib Johan Pertandingan Debat Pengurusan Kebangsaan
2018 – Gold Medal Award, International Built Environment Undergraduate Research Competition
2020 – Felo Perdana kepada Menteri Kanan Kerja Raya
2021 – Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan – Anugerah Pemimpin Wacana Intelek

Jawatan di UTHM:

2016 – Pengarah Program Terbaik – Kolej Kediaman Harapan UTHM
2017 :

Pengarah Program Terbaik

– Program Berimpak Tinggi Terbaik 2018

– Pemimpin Kolej Kediaman Cemerlang

– Pemimpin Pengucapan Awam Cemerlang

– Kolej Kediaman Terbaik UTHM

– Pengarah Program Terbaik

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas