Berita

Khairul Firdaus atasi kelemahan diri di puncak Everest

KHAIRUL FIRDAUS berjaya mendaki puncak gunung tertinggi dunia dalam usaha mengatasi perasaan gayatnya kepada ketinggian.
- Diterbit 19 November 2021 3:49 AM MYT

KELEMAHAN diri bukan penghalang buat graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Khairul Firdaus Mohd Talib, 24, apabila berjaya mendaki puncak gunung tertinggi Dunia iaitu Gunung Everest sempena sambutan UTHM yang ke-25 pada dua tahun lalu.

Kejayaan bersama pasukan UTHM Everest Golden Quarter ketika masih menuntut pengajian membuktikan dia mampu mengatasi ketakutan terhadap ketinggian ketika berada di paras setinggi,
5,637 meter dari paras laut Puncak Gunung Kalapathar, Nepal itu.

“Sejujurnya, saya memang gayat pada ketinggian dan paling tidak disangka saya dapat melintas jambatan gantung di kaki Gunung tersebut yang bawahnya ada sungai,” katanya ketika dihubungi
Wilayahku.

Berkongsi pengalaman mendaki gunung bersama enam lagi rakannya, Khairul menceritakan cabaran yang dihadapi pasukannya semasa berada di puncak gunung tersebut.

“Semasa mendaki, ada antara ahli pasukan saya yang terkena penyakit Accute Mountain Sickness atau AMS seperti pening, muntah dan sesak nafas akibat penurunan kadar oksigen dan tekanan udara saat mendaki ke tempat yang lebih tinggi.

“Demi mementingkan keselamatan, Kami terpaksa meninggalkan mereka di tempat tersebut untuk sementara waktu dan
teruskan pendakian bagi melaksanakan misi utama program.

“Selain itu, cabaran paling ketara yang terpaksa kami tempuh apabila berhadapan dengan hujan dan angin yang kuat serta
suhu sejuk yang mencecah sehingga dua darjah celcius di sebelah siang manakala malamnya pula sehingga 10 darjah celcius,” katanya yang merupakan bekas pelajar Fakulti Kejuruteraan
Mekanikal dan Pembuatan, UTHM.

Menurut Pengarah Program Kem Dasar Everest 2018 ini, bagi menghadapi persiapan pendakian sukar itu, dia berpeluang menakluki tiga gunung iaitu Gunung Semeru dan Gunung Kerinci, Indonesia serta Gunung Kinabalu, Sabah.

“Kami juga turut mendapat bimbingan khas dari bekas pendaki Everest iaitu Ahmad Reduan atau lebih mesra disapa Abang Mad dan Isterinya, Roslizawati,” jelasnya.

Usaha melaksanakan misi ini akhirnya berjaya menobatkan Khairul Firdaus sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Sukan menerusi program Anugerah Tokoh Siswa tahun 2020.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga di atas dorongan dan sokongan yang diberikan dan ucapan ini juga ditujukan khas kepada pensyarah saya iaitu Dr Kamilah Yusof.

“Dia adalah individu yang banyak beri galakkan kepada saya untuk
menghasilkan program ini walaupun pada peringkat awalnya saya sudah berputus asa kerana tidak mendapat sebarang penajaan tapi alhamdulillah dia banyak membantu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas