Berita

Caterham F1 bukannya buat untung, kata Tony Fernandes, Kamarudin

- Diterbit 4 Februari 2020 8:35 AM MYT

 

PUTRAJAYA –  Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun menafikan sebarang dakwaan salah laku melibatkan tugas mereka sebagai eksekutif dan pengarah AirAsia sebagaimana terkandung dalam kes rasuah membabitkan syarikat pengeluar pesawat Eropah, Airbus.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berdua berkata, Caterham F1, syarikat yang didakwa telah ditaja secara salah oleh Airbus sebenarnya melibatkan pasukan Formula 1 yang telah menjelajah ke seluruh dunia bagi mempromosikan AsiaAsia X, GE dan Airbus.

”Sepanjang tempoh itu, kami sebagai pemilik pegangan saham dalam Caterham, syarikat itu tidak membuat keuntungan dan telah dilupuskan pada kadar 1 pound sterling pada tahun 2014.
”Dari mula hingga tamat, ini merupakan aktiviti penjenamaan dan ia tidak membuat keuntungan,” kata kenyataan mereka berdua hari ini.

Kenyataan tersebut merujuk kepada laporan ‘Deferred Prosecution Agreement’ melibatkan Airbus SE dan UK Serious Fraud Office (SFO) pada 31 Januari lalu.

Sabtu lalu, AirAsia dalam satu kenyataan, menafikan dakwaan rasuah itu dengan menyatakan ia tidak terbabit dalam sebarang penyiasatan oleh SFO terhadap Airbus ataupun diberikan sebarang peluang untuk menyediakan maklumat atau penjelasan kepada SFO.

Kamarudin dan Tony Fernandes berkata, penyiasatan yang dijalankan SFP yang dilaporkan mengambil masa selama empat tahun sebenar tidak pernah dimaklumkan kepada mereka atau AirAsia bagi tujuan mendapatkan penjelasan.

”Perkara ini jelas satu pencabulan terhadap prinsip perundangan melibatkan kesaksamaan dan akses kepada keadilan,” katanya.

Semalam Kamarudin dan Tony Fernandes melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Bhd. (AAGB) dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan tambang murah itu berkuat kuasa serta-merta berikutan siasatan rasuah Airbus.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pelepasan jawatan itu berjalan untuk tempoh dua bulan atau satu tempoh lain yang dianggap sesuai.

Dalam pada itu, Kamarudin dan Tony Fernandes turut bersetuju untuk membantu memainkan peranan sebagai penasihat kepada syarikat penerbangan itu bila diperlukan.

”Kami mengalu-alukan siasatan oleh pihak berkuasa memandangkan hanya dengan cara itu kami akan mendapatkan keadilan yang telah dinafikan pihak SFO sehingga kini. Kami sedia memberikan kerjasama penuh kepada mereka,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya telah menghubungi pihak berkuasa United Kingdom dan telah memulakan penyiasatan.

“Di bawah Akta SPRM, kami mempunyai kuasa dan bidang kuasa untuk menyiasat apa-apa tindakan rasuah yang dilakukan oleh mana-mana warganegara atau penduduk tetap Malaysia di mana-mana tempat luar Malaysia.

“Dalam kes Airbus-Airasia ini, saya dengan ini mengesahkan bahawa kami telah menghubungi pihak berkuasa UK dan siasatan sudah dimulakan,” katanya.

Media antarabangsa melaporkan pengeluar pesawat Eropah itu mengaku bersalah terhadap dakwaan rasuah tersebut.

Malah Airbus turut bersetuju membayar hampir RM4.5 bilion di UK, RM9.5 bilion di Perancis dan RM2.4 bilion di Amerika Syarikat.

Penyelesaian itu yang dianggap sebagai plea bargain membolehkan Airbus tidak berdepan pendakwaan jenayah yang boleh menghalangnya menyertai kontrak awam di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas