Berita

Hikmah PKP, jurusolek belajar kemahiran hasilkan pakaian beragam merdeka

- Diterbit 27 Ogos 2020 3:24 AM MYT

SUDAH menjadi rutin setiap tahun bagi Tuan Syazwiain Tuan Zarahim Nazri, 30, menempah pakaian khas dan istimewa untuk empat anaknya dengan tema kemerdekaan setiap kali menjelang 31 Ogos.

Beliau yang bekerja sebagai jurusolek berkata suaminya, Safuan Kalid, 32, turut memberi sokongan dan memahami minatnya untuk menggayakan keempat-empat anak mereka dengan pakaian istimewa sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan agar ia menjadi kenangan terindah buat mereka sekeluarga selain menyemarakkan semangat patriotisme.

Pasangan itu mempunyai anak kembar lelaki berusia 10 tahun iaitu Tuan Aqeel Aysar dan Tuan Aqeef Aysar, dua anak perempuan iaitu Damia Aysarah Khalieesya, 7, dan Mia Aysarah Ayuni, 5.

Bagi sambutan Hari Kebangsaan kali ini, Tuan Syazwiain menganggap persiapan pakaian anak-anaknya lebih bermakna kerana beliau sendiri yang menjahit pakaian berkenaan.

“Sepanjang PKP Mac lepas, memang banyak masa terluang, lagipun saya tidak boleh keluar bekerja untuk menyolek pelanggan….jadi saya manfaatkan sepenuhnya masa untuk belajar menjahit melalui pelbagai aplikasi media sosial terutama YouTube,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Rekreasi Kuala Ibai, di sini bagi merakam gambar pakaian beragam anaknya itu.

Tuan Syazwiain berkata beliau mengambil masa tiga minggu untuk menyiapkan gaun Damia Aysarah Khalieesya dan tujuh hari untuk menyiapkan gaun beropol untuk Mia Aysarah Ayuni dengan kos keseluruhan RM600.

“Alhamdulillah, anak-anak sangat suka dengan pakaian yang dihasilkan dan banyak juga pujian diterima daripada rakan serta saudara-mara setelah melihat hasil jahitan saya ini,” katanya menambah semua anaknya pernah memenangi beberapa pertandingan pakaian beragam bertemakan Hari Kebangsaan, sebelum ini.

Tuan Syazwiain turut mengakui sangat teruja melihat kesemua anaknya tampil ceria dan berkeyakinan apabila menggayakan pakaian bertemakan warna Jalur Gemilang, tidak kira sama ada mengikuti acara anjuran sekolah, agensi kerajaan atau pihak swasta, sepanjang Bulan Kebangsaan.

“Ini antara cara terbaik untuk kami suami-isteri mendidik anak agar mereka lebih menghayati makna kebebasan dan menghargai semangat perjuangan oleh generasi terdahulu.

“Usaha kecil ini diharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyambut Bulan Kebangsaan mengikut kreativiti masing-masing,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas