Berita

Putrajaya kembali dikunjungi, jangan lupa patuhi SOP

JALALUDDIN beramah mesra bersama pengunjung di sekitar Putrajaya ketika melakukan tinjauan Ahad lalu. JALALUDDIN beramah mesra bersama pengunjung di sekitar Putrajaya
- Diterbit 17 September 2021 4:29 AM MYT

MERIAH dan orang ramai mula mengunjungi beberapa tempat menarik sekitar Putrajaya,” kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Ahad lalu.

Jalaluddin berkata setelah menyelesaikan tugas di pejabatnya, beliau meninjau keadaan di sekitar Putrajaya yang sudah berada di Fasa 2 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Petang tadi selepas saya menyelesaikan tugas di pejabat saya di Putrajaya, saya sempat meronda sekitar Presint 5, Presint 4 dan Presint 3.

“Saya mula di Empangan Udang Galah, seterusnya ke Perbadanan Putrajaya dan akhir sekali ke Dataran Putrajaya,” katanya yang turun padang apabila mendapat pesanan dari salah seorang penduduk Putrajaya untuk meninjau sendiri keadaan di sana.

Tambahnya pengunjung yang datang bukan sahaja dari kalangan warga Wilayah Persekutuan malah terdapat pengunjung dari Kepong, Shah Alam, Bangsar dan juga beberapa tempat lain.

Jelasnya lagi, beliau melihat sendiri bagaimana peralihan fasa ini mampu membantu ekonomi dan juga menguatkan lagi ikatan kekeluargaan.

“Dengan mata saya sendiri melihat bagaimana Fasa 2 PPN mampu membuatkan banyak sektor ekonomi mula berkembang pesat.

“Ikatan hubungan kekeluargaan juga kian bertambah erat dengan adanya aktiviti bersantai, berkelah dan makan-makan bersama sanak saudara,” tulisnya di Facebook.

Jalaluddin berkata ia jelas menunjukkan bahawa rakyat begitu terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama ini yang membataskan pergerakan dan apabila sedikit kelonggaran diberi, orang ramai mula mengunjungi tempat peranginan bagi melepaskan kerinduan.

Dalam pada itu, Jalaluddin turut menasihatkan orang ramai untuk terus kekal patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan amalan SOP yang diamalkan para pengunjung.

“Saya nasihatkan mereka tadi supaya amalkan SOP sehabis baik. Kita sudah diberi sedikit kelonggaran, jadi manfaatkanlah dengan baik dan berdisiplin.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan amalan SOP yang diamalkan oleh para pengunjung di Putrajaya,” tambahnya.

Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih kepada Fasa 2 PPN berkuat kuasa 10 September lalu. -WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas