Berita

Tidak kompromi peniaga warga asing, premis langgar undang-undang

DBKL sita barang perniagaan yang dikendalikan warga asing. DBKL sita barang perniagaan yang dikendalikan warga asing.
- Diterbit 17 September 2021 6:00 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) tidak akan berkompromi dengan peniaga warga asing yang menjalankan perniagaan sehingga menutup peluang kepada rakyat tempatan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, beliau mendapat banyak laporan dari warga kota termasuk peniaga yang menjalankan perniagaan di beberapa lokaliti ibu negara mengenai masalah tersebut dan menjalankan tinjauan di beberapa kawasan termasuklah mengunjungi Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Saya sudah meminta ketua-ketua jabatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengemukakan maklumat sebenar mengenai berapakah jumlah peniaga warga asing yang menjalankan aktiviti tersebut secara haram termasuk berniaga tanpa lesen serta menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya kepada Wilayahku selepas menyampaikan sumbangan anjuran pertubuhan Malaysia Thamizhar Sangam di Sentul baru-baru ini.

Menurut Jalaluddin, apabila maklumat dan data ini diperoleh, pihaknya akan menyusun tindakan susulan termasuk melipat gandakan tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga warga asing bagi memastikan perniagaan yang selama ini didominasi mereka dapat dicegah.

“Kalaupun tidak dapat dihentikan 100 peratus dalam jangka masa terdekat, kita berusaha untuk mengurangkan kerana tindakan mereka selama ini telah menyekat peluang kepada rakyat tempatan.

“Selain daripada itu, mereka turut menjadi penyumbang kepada kesesakan lalu lintas dan ia menjadi faktor yang sangat jelas tindakan segera mesti diambil bagi kesejahteraan dan kemudahan warga kota,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa tindakan yang akan dilakukan akan turut melibatkan agensi luar seperti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Imigresen (JIM).

“Ia merupakan satu operasi bersepadu yang melibatkan semua agensi berkaitan dan kita menyasarkan peniaga yang tidak berlesen dan warga asing, termasuklah akan memeriksa premis yang tidak berlesen dan yang tidak dibenarkan beroperasi ketika Fasa 2, Pelan Pemulihan Negara (PPN) atau melanggar peraturan dan undang-undang turut,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas