Berita

PPJ rai pemenang tiga pertandingan

MUHAMMAD Azmi (kanan) menyampaikan hadiah kepada Eli Fidelma, naib juara pertandingan Mencipta Poster anjuran Bahagian Perkhidmatan Komuniti PPj. MUHAMMAD Azmi (kanan) menyampaikan hadiah kepada Eli Fidelma, naib juara
- Diterbit 17 September 2021 3:57 AM MYT

PERBADANAN Putrajaya (PPj) meraikan pemenang Pertandingan Mencipta Poster, Pertandingan Time Attack Plank Challenge sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM2021) serta Pertandingan Video Kreatif Stay At Home Komuniti Putrajaya di Kompleks Perbadanan Putrajaya baru-baru ini.

PPj dalam kenyataannya berkata seramai 31 peserta telah dipilih sebagai pemenang dalam kategori-kategori yang dipertandingkan dan membawa pulang hadiah berbentuk wang ringgit.

DZULKARNAIN

Juara Pertandingan Video Kreatif Stay At Home Komuniti Putrajaya, Ahmad Dzulkarnain Mohamad Tarmizi, 39, akui terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang.

“Sebenarnya perasaan saya ketika ini sangat terkejut kerana penyertaan saya hanya untuk suka-suka tambahan pula saya tidak mempunyai kemahiran dalam menyunting video jadi kemenangan ini sangat tidak disangka,” katanya yang turut memenangi wang tunai berjumlah RM500.

Ahmad berkata idea dalam menghasilkan video pendek tersebut
adalah dari rutin harian mereka sekeluarga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sedikit sentuhan ditambah dalam penghasilan video tersebut.

Pertandingan Video Kreatif tersebut telah diadakan pada 8 hingga 23 Julai 2021 bertujuan untuk menggalakkan warga komuniti Putrajaya berkongsi aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan ketika tempoh PKP.

Manakala bagi naib juara Pertandingan Mencipta Poster, Eli Fidelma Lili Murad, 18, pada mulanya penyertaannya hanyalah sebahagian daripada aktiviti kurikulum di sekolah.

“Pada mulanya, cikgu ada beritahu mengenai pertandingan ini dan saya sertai kerana ia sebahagian daripada aktiviti kurikulum dan tidak menyangka akan turut memenangi pertandingan ini,” kata Eli yang mula meminati bidang lukisan ketika usia enam tahun.

Ditanya mengenai idea lukisannya, Eli berkata dia cuba untuk melukis dari sudut perspektif yang berlainan daripada kebiasaannya dan mengambil masa tiga hari untuk menyiapkannya.

Tambahnya, mengambil aliran seni ketika di tingkatan empat dan lima amat membantu dalam menyiapkan poster tersebut.

Satu lagi acara bersempena sambutan HKHM2021 iaitu PPj Time Attack Plank Challenge turut diadakan dalam menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan kakitangan PPj. Pertandingan ini dibahagi kepada empat kategori iaitu terbuka lelaki, lelaki 45 tahun ke atas, terbuka wanita dan wanita 45 tahun ke atas.

Juara pertandingan setiap kategori membawa pulang wang tunai bernilai RM300, manakala bagi naib juara membawa pulang wang tunai RM200 dan tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM150.

Majlis penyampaian hadiah tersebut disempurnakan oleh Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain. -WILAYAHKU- DIANA AMIR 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas