Berita

Putrajaya juara SWIP Sukan Tempur 2019

SHAHRUDDIN (tengah) bergambar bersama sebahagian peserta SWIP Sukan Tempur baru-baru ini.
SHAHRUDDIN (tengah) bergambar bersama sebahagian peserta SWIP Sukan Tempur baru-baru ini.
- Diterbit 2 Ogos 2019 2:22 AM MYT

KUALA LUMPUR – Putrajaya muncul juara keseluruhan pada Karnival Sukan Wilayah Persekutuan (SWIP) Sukan Tempur yang berlangsung selama dua hari di Kompleks Sukan Setiawangsa di sini baru-baru ini selepas berjaya mengumpul 53 pingat emas, 34 perak dan 18 gangsa.

Kuala Lumpur terpaksa berpuas hati di tangga kedua apabila hanya memungut 34 pingat emas, 33 perak dan 35 gangsa manakala Labuan membawa pulang 3 emas, 12 perak dan tiga gangsa.

Mempertaruhkan 225 acara, SWIP dilihat mampu menjadi platform kepada penghasilan atlet bermutu yang bakal mewakili Wilayah Persekutuan mahu pun negara pada suatu hari nanti.

Ekoran itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh meletakkan harapan tinggi dengan menyasarkan Wilayah Persekutuan juara bagi Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang bakal berlangsung di Johor pada 11 hingga 19 Julai tahun depan.

Ini kerana, jelas beliau, kesemua atlet yang bakal terlibat dalam acara Sukma itu nanti telah disaring terlebih dahulu menerusi SWIP.

“Dengan adanya saringan awal ini, maka kita dapat bentuk satu pasukan tempur yang kuat untuk mewakili Wilayah Persekutuan dan memastikan kita mendapat pingat emas terbanyak atau semua sekali yang boleh kita rangkul dalam pertandi­ngan akan datang.

“Dulu kita dapat tempat kedua, kini sudah pasti kita sasarkan tempat pertama keseluruhan,” katanya.

Terdahulu enam acara dipertandingkan pada SWIP Sukan Tempur antaranya silat, taekwondo, tinju dan muay Thai.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas