Berita

Kejayaan ubah persepsi keluarga

GAYA kawalan bola Nazif pukau penonton
GAYA kawalan bola Nazif pukau penonton
- Diterbit 2 Ogos 2019 2:19 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

ATLET futsal Wilayah Persekutuan, Muhammad Nazif Azli, 20, me­ngakui dia pernah dihalang oleh ibu dan bapanya ketika mengambil keputusan untuk bergiat aktif dalam sukan futsal. Sedih dengan hal tersebut, namun dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan arena sukan yang dicintainya.

Bercerita lanjut tentang penglibatannya, remaja kelahiran Kuantan, Pahang ini mula mengenali sukan tersebut seawal usia lima tahun. Semuanya bermula apabila pakciknya yang dikenali sebagai Aznan Mokhtar sering membawanya ke padang.

“Lama kelamaan apabila sering mengikutinya, saya mula jatuh cinta dengan sukan futsal. Pakcik yang banyak mendorong saya untuk te­rus aktif bermain memandangkan saya banyak menunjukkan kelebihan ketika beraksi.

“Bermula dari situ dia ba­nyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada saya. Malah turut menyediakan tempat untuk saya berlatih. Dalam masa yang sama juga, dia sanggup mengeluarkan duit untuk membiaya yuran latihan,” ujarnya.

Kata anak ketiga daripada empat orang adik-beradik ini lagi, ketika itu perjalanannya dalam sukan futsal agak terbatas dan sukar memandangkan kedua ibu bapanya tidak me­restui penglibatannya itu.

“Agak sedih juga bila apa yang kita lakukan tidak mendapat sokongan dari­pada orang yang paling pen­ting dalam hidup. Serba serbi yang dibuat terasa begitu berat. Namun saya tidak pernah menyalahkan mereka kerana saya sedar mereka bimbang jika saya hanya membuang waktu dengan bersukan.

“Pun begitu saya tekad untuk membuktikan pilihan saya adalah tepat. Secara peribadi, masa hadapan dalam sukan ini cerah, jadi saya cuba lakukan yang terbaik agar mereka sedar dan nampak. Sehingga­lah pada tahun 2015, saya muncul juara pada Karnival Milo Hidup Bola,” ujarnya.

Tambah Nazif, ketika itu persepsi ibu bapanya yang memandang sukan se­olah-olah tiada masa depan bertukar. Mereka kemudiannya mengambil keputusan membiarkan apa sahaja dilakukan tetapi masih menekankan soal pelajaran.

“Alhamdulillah kemena­ngan tersebut telah memberi sinar baru dalam hidup saya. Mereka menjadi lebih terbuka selepas itu dan meminta saya berjanji agar tidak meng­abaikan pelajaran. Kini mereka tidak putus-putus memberi dorongan dan sokongan,” ujarnya.

Ceritanya lagi, sejujurnya dia banyak berterima kasih kepada pakciknya yang banyak berkorban sejak mula dia terlibat dalam dunia futsal lagi. Tanpa insan kesayangannya itu tidak mungkin dia mampu berada pada tahap ini.

Berkongsi tip kejayaannya, dia yang bermain bersama pasukan dalam Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) berkata, doa ibu bapa adalah pa­ling penting selain usaha serta diiringi latihan yang konsisten.

Mewakili Malaysia di AFF

Pelajar jurusan Diploma Pemasaran, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor ini me­nyimpan cita-cita untuk ber­aksi di Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF). Bagi menggapai impian­nya dia kini serius menjalani latihan intensif.

Tiga hari seminggu di gelanggang futsal, Adib berusaha sebaik mungkin bagi meningkatkan kemahiran individu bagi menjuarai Liga Perdana Futsal Malaysia dalam masa terdekat ini.

Menjadikan atlet Khairul Effendi atau dikenali sebagai Ayun sebagai idolanya, kekuatan pemain tersebut walaupun bertubuh kecil menyuntik semangat buat dirinya. Paling menggembirakannya, kini mereka berada dalam liga yang sama.

“Dulu dia pernah mengajar saya, tidak sangka kini kami bersama-sama. Walaupun belum mempunyai rezeki untuk menjaringkan gol namun saya yakin akan membuktikannya pada perlawanan akan datang,” ujarnya yang bermain di posisi pivot.

Berdepan dengan cabaran memikul dua tanggungjawab iaitu sebagai atlet dan pelajar, Adib bagaimanapun menjelaskan pengurusan masa perlu dilakukan dengan be­tul agar kedua-duanya dapat diseimbangkan.

“Jika kita gagal merancang, kita akan gagal dalam kehidupan. Itu antara kata-kata yang saya pegang hingga ke hari ini. Jika boleh, saya ingin bergelar seorang atlet yang berpendidikan tinggi,” ujarnya yang akan setia dalam dunia futsal selagi masih relevan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas