Artikel

Pesaka KL yakin kewibawaan Adib

KETANGKASAN Adib (kiri) ketika beraksi di salah satu kejohanan baru-baru ini.
KETANGKASAN Adib (kiri) ketika beraksi di salah satu kejohanan baru-baru ini.
- Diterbit 2 Ogos 2019 2:23 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Persatuan Silat Kebangsaan Kuala Lumpur (Pesaka KL) yakin atlet yang pernah bernaung di bawah­nya, Muhammad Khairil Adib Azhar, 17, mampu bersaing merebut pi­ngat emas pada Sukan SEA 2019 yang akan berlangsung di Filipina, November ini.

Menurut Setia­usaha Agung Pesaka KL, Sudirman Arifin, Adib yang telah diserap ke skuad kebangsaan pada Julai lalu me­rupakan salah seorang barisan muka-muka baharu dan muda yang telah berjaya melalui proses pemilihan dengan pesilat elit.

Optimis atlet tersebut mampu memberikan yang terbaik pada temasya tersebut, Adib merupakan pesilat muda yang memiliki semangat juang tinggi dan dilihat tidak gentar untuk memperlihatkan aksi bermutu.

“Kami di sini te­lah bersama mem­bangunkannya selama lima tahun dan secara peribadi saya lihat dia mampu pergi jauh lagi ke peringkat yang le­bih tinggi. Selain itu, dia juga sudah menjalani persiapan rapi yang dijalankan selama ini.

“Saya yakin dia boleh capai target tersebut. Mudah-mudahan kesemua pesilat negara mampu mencapai kejayaan lebih daripada itu. Tidak mustahil jika mereka berusaha bersungguh-sungguh dengan masa yang ada ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia ter­paksa menggantikan tempat Adib dengan atlet lain ketika Karnival Sukan Wilayah Persekutuan (SWIP) bagi memberi ruang kepadanya untuk berehat ekoran kecederaan kecil yang dialami.

Dalam pada itu, Adib yang akan beraksi dalam Kelas Putra A mengakui, dia kini berdebar menanti kejohanan tersebut dan menjangkakan persaingan sengit namun sentiasa fokus dengan latihan se­tiap­ hari Isnin hingga Jumaat.

“Sekarang saya baru sahaja pulang daripada ASEAN School Games (ASG) di Jawa Tengah dan akan fokus pula pada Kejuaraan Silat Kebangsaan di Stadium Titiwangsa pada September ini sebelum beraksi di Sukan SEA November akan datang,” kata atlet kelahiran Kuala Lumpur tersebut.

Temasya di Filipina kali ini menyenaraikan lima acara silat olahraga dengan tiga daripadanya adalah Kelas Putra A, C dan D serta kategori Putri hanya mempunyai dua acara iaitu Kelas A dan B.

Dalam kategori silat seni pula, pasukan tuan rumah sekadar menyenaraikan empat acara – Jurus Tunggal Putra, Ganda Putra, Tunggal Putri dan Regu Putra. Terdahulu Malaysia meraih 10 emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas