Artikel

Putrajaya jadi model peradaban

SALAH satu mercu tanda Putrajaya. - Gambar hiasan
- Diterbit 2 Disember 2019 4:37 AM MYT

Saya pindah ke Putrajaya setelah membeli rumah semi-D di Presint 14 dalam tahun 2008. Hingga kini saya merasa puas dan selesa tinggal di Putrajaya.

Memang tidak hairan sekiranya ramai orang luar menganggap Putrajaya sebagai model pembangunan bandar kerajaan dan alam sekitar yang indah yang seharusnya di contohi oleh negara lain.

Satu gambaran yang agak baik dan sesuai dengan hidup sejahtera bagi persekitaran dan penghuni Putrajaya yang masih terpelihara bahawa kota ini agak aman dan damai mulai dari jam 10 malam.

Suasana larut malam yang mulai sunyi dan berbentuk aman, menjelma di Putrajaya, tidak seperti di sebahagian besar bandar lain yang suasana malam berlarutan hingga ke tengah malam, masih ramai di hayati di restoran dan tempat lain.

Bagaimanapun, akhir-­akhir­ ini, keadaan agak kecoh pada waktu pagi, ketika ibu bapa dan pemandu kende­raan awam serta kenderaan motosikal yang bertambah jumlahnya bergegas ke sekolah dan tempat kerja dalam bentuk perlumbaan dan berkejaran sesama sendiri sehingga sanggup melanggar lampu merah.

Pergerakan kenderaan mulai bercelaru dengan kegemparan memotong dan bergerak laju seolah-olah dunia telah hampir akan sampai ke saat akhirnya.

Selain dari lampu isyarat yang tidak dihormati, kenderaan juga sering mengambil jalan ringkas melintasi bulatan dari arah yang bertentangan bagi menjimatkan masa yang kadang-kadang hampir bertembung dengan kenderaan yang datang dari hadapan.

Gambaran ini hanya me­rupakan beberapa contoh kecil tetapi amat besar impli­kasinya dari segi pencerobohan etika dan peraturan lalu-lintas negara maju dan seterusnya menggambarkan akal budi dan etika hidup manusia yang seharusnya tidak berlaku di pusat pentadbiran Kerajaan yang berprestij ini.

Kecelaruan pemikiran dan perilaku ini dikejutkan pula dengan sikap tidak beramanah iaitu dengan berlakunya kecurian tayar kenderaan di sana sini malah terjadi juga kes kecurian tabung wang kutipan masjid dan surau di sekitar bandar ini atau perbuatan melarikan tas tangan para jemaah wanita ketika mereka berjemaah di masjid atau surau.

Rakyat Melaysia yang berpusat di kota Putrajaya ini seharusnya dapat menjadi contoh kepada penduduk Malaysia seluruhnya. Nilai moral dan etika, disiplin dan cara hidup dalam banyak lapangan hidup manusia bertamadun haruslah terpupuk di kalangan angkatan baharu dan lama di kawasan terpilih ini, apatah lagi isu yang berkaitan dengan kebersihan, alam sekitar, sampah dan suasana alam yang sempurna.

Lebih-lebih lagi tata laku serta adab sopan manusia sendiri yang seharusnya dipupuk dengan baik untuk menggambarkan tamadun dan peradaban manusia sendiri.

Putrajaya didiami oleh majoriti penduduk beragama Islam yang mempunyai cara hidup dan sistem perilaku yang bersopan dan baik sekali. Masjidnya amat tersergam hingga menarik para pelancong mengunjunginya saban hari.

Malah suraunya, termasuk surau Jumaat menjangkau bilangan yang banyak. Semuanya menghidangkan pengajaran agama di hari-hari dan waktu yang tertentu seperti kuliah maghrib dan subuh, duha dan lainnya di samping khutbah Jumaat yang dikemukakan setiap minggu untuk diambil iktibar oleh ribuan jemaah.

Bilangan bijak pandai agama yang memberikan tazkirah dan pengajaran Islam ini semakin bertambah dari semasa ke semasa. Maka amatlah diharapkan bahawa semua medium ajaran ini haruslah dibawa ke hadapan dengan lebih sistematik dan teratur lagi, iaitu ke arah latihan akhlak dan cara hidup Islam yang menyeluruh, lahir dan batin, hati dan akal.

Ibadat wuduk yang mementingkan kebersihan haruslah ditekan­kan tentang kebersihan zahir dan batin, fizikal dan spiritual supaya tidak ada sebarang pengkhianatan harta dan wang dilakukan.

Malah kebersihan bukan hanya untuk diri sendiri semata-mata malah kebersihan persekitaran, bilik mandi, tandas dan halaman rumah atau jalan raya.

Perbuatan menceroboh harta benda jemaah dan peti kutipan surau dan masjid merupakan satu perbuatan yang keji bagi manusia ter­utamanya mereka yang sentiasa didedahkan dengan ajaran Islam.

Menunaikan solat dengan pakaian yang bersih dan wangi, tidak hanya setakat dalam ibadat khusus itu sahaja tetapi merangkumi peraturan dan sistem hidup dalam masyarakat, disiplin kerja dan kewajipan pejabat yang lurus seperti lurusnya barisan solat, menguruskan masa bekerja dan lain-lain sama seperti menghormati waktu solat dan puasa dengan penuh sedar, malah khusyuk hati terhadap Allah dalam solat, puasa dan ibadat lain, maka demikianlah juga tanggungjawab ma­sing-masing terhadap sesama manusia di dalam kehidupan yang amat luas ruang lingkup­nya ini.

Kesediaan orang Islam menyumbang kepada tabung-tabung kebajikan, ibadat, tahfiz dan sebagainya merupakan satu ajaran Islam yang amat baik untuk menguruskan modal wakaf, koperasi dan ekonomi umat yang produktif.

Wang zakat di Wilayah sendiri walaupun kadar wajibnya hanya 2.5 peratus dipungut namun jumlahnya setiap tahun melebihi setengah billion ringgit.

Hal ini haruslah diterapkan dalam ajaran agama dan kuliah yang sering di adakan di semua masjid dan surau di Putrajaya, yang mungkin dalam sekian lama ini hanya berkisar di sekitar ibadat khusus dan fardu ain.

Namun umat Islam mestilah dididik terutamanya kepada generasi baharu bahawa setiap niat dan perbuatan amal ibadat khusus itu sebenarnya mempunyai hubungan dengan proses pembangunan ekonomi, pendidikan dan perilaku mereka dalam masyarakat seperti tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan sesama manusia.

Ini termasuk menghormati sistem lalu lintas, adab memandu kenderaan, perilaku ketika berbaris menunggu giliran, menjaga amanah dan suci hati ketika digoda oleh tuntutan kebendaan dan kewangan dan lain-lain perbuatan yang bertentangan dengan agama sendiri.

Kesejahteraan

Kita tidak mahu melihat bahawa kanak-kanak dan orang Islam umumnya telah menganggap bahawa mereka sebenar-sebenarnya telah menjadi umat Islam yang baik hanya dengan doa dan zikir, membaca beberapa ayat al-Quran atau menunaikan solat dan iabadat khusus semata-mata, tanpa menyedari tanggungjawab sosial dan keluarga malah tanggungjawab ekonomi dan kebersihan alam sekitar, perilaku di luar surau dan masjid dan membina kesejahteraan dan kebahagian masyarakat umumnya.

Kita menjunjung tinggi kesedaran beragama yang amat ketara dalam masyarakat berkat tunjuk ajar dan pendidikan para pendakwah dan penceramah agama selama ini.

Namun kita amat mengharapkan bahawa ajaran dan pendidikan itu haruslah di bawa ke hadapan dengan lebih berkesan lagi, sesuai dengan ajaran agama yang menggesa kita berusaha untuk mendapat kesejahtera­an di dunia dan akhirat, meningkatkan perusahan dalam harta benda dengan sempurna serta bernilai, juga membangun kehidupan dunia untuk bekalan yang bernilai di akhirat.

Semoga segala kuliah dan tazkirah, khutbah Jumaat dan pendidikan di masjid, di rumah dan sekitarnya, malah pendidikan di sekolah dan universiti juga akan bertambah luas dan menyeluruh, supaya pendidikan ini akan mengubahkan mentaliti dan akal fikiran generasi baru dan lama kita tentang konsep ibadat yang merangkumi ibadat khusus dan ibadat umum, iman dan amal soleh bagi umat yang terpilih ini.

Amatlah diharapkan bahawa sekurang-kurang Putrajaya dan Wilayah Persekutuan akan dapat menilai dan mempelajari hal ini dengan lebih mendalam lagi bagi melahirkan masyarakat contoh yang terbaik di Ibu negara ini.

Langkah-langkah yang berkesan dalam memacu dan melaksanakan perubahan yang dinamik ini haruslah dimulakan oleh pihak yang berwajib dalam pentadbiran ibu kota perkhidmatan Ke­rajaan ini, dan langkah yang berkesan haruslah di rancangkan supaya Putrajaya dan Wilayah Persekutuan menjadi contoh yang terbaik untuk melahirkan manusia yang sempurna iman, syariah dan akhlaknya.

Biarlah legasi Melayu dan Islam ini kita lahirkan di pusat pemerintahan Kerajaan Persekutuan ini sekurang-­kurangnya sebagai contoh dan model terutamanya daerah inilah yang mempunyai sejarah dan pentadbiran­nya yang tertinggi.

Datuk Dr. Ismail Ibrahim merupakan bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dan bekas Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas