Artikel

Pesta buku perlu kekal di PWTC

PBAKL sesuai diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
- Diterbit 2 Disember 2019 4:46 AM MYT

Pengumuman bahawa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) tahun 2020 tidak akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tetapi akan dilangsungkan di Taman Pameran Pertanian Serdang Malaysia (MAEPS) mengecewakan penulis dan banyak pihak lain.

Bagi penulis, kekecewaan itu adalah kerana sukarnya pengangkutan awam untuk ke MAEPS berbanding PWTC. Apabila disebut pengangkutan awam, maka rujukan utamanya adalah laluan keretapi seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Laju Massa (MRT) dan Komuter.

Walaupun bas, teksi dan kende­raan e-hailing juga pengangkutan awam tetapi rujukan utama apabila disebut mengenainya adalah yang mengguna­kan keretapi.

Untuk ke PWTC, perkhidmatan LRT adalah laluan Petaling dan Ampang. Bagi Petaling, ia bermula dari Putra Heights dan berakhir di Sentul. Sementara itu bagi Ampang, ia adalah dari Ampang dan juga berakhir di sentul.

Stesen LRT PWTC bersebelahan dengan pusat membeli-belah Sunway Putra, yang laluannya bersambung dengan PWTC.

Bagi MAEPS, bukanlah tiada laluan keretapi. Stesen Komuter bagi MAEPS adalah Serdang. Pernah pada satu masa ketika PBAKL diadakan di MAEPS, penganjur menyediakan bas dari stesen Serdang. Perjalanannya agak jauh. Tentulah ia tidak semudah sekiranya stesen Komuter itu terus ke MAEPS. Dengan membawa buku ba­nyak yang dibeli, penggunaan bas itu sudah tentu tidak mesra pengguna.

Bagi penjual pula, terutamanya dari kalangan penerbit kecil yang tiada pengangkutan sendiri, MAEPS sememangnya tempat yang menyusahkan berbanding dengan PWTC.

Untuk ke PWTC, seseorang penerbit kecil boleh membawa buku dengan menggunakan pengangkutan awam, sama ada LRT atau teksi. Bagi penerbit besar, MAEPS sememangnya tidak bermasalah. Dengan mengadakan PBAKL di MAEPS, pesta itu tidak mesra pada penjual dan penerbit kecil.

Tetapi dari segi nama juga, ada suatu yang tidak tepat. Sememangnya tidak ada syarat supaya PBAKL mesti diadakan di Kuala Lumpur, lebih-lebih lagi jika dianggap pesta buku untuk adalah milik negara dan bukan bandar raya.

Maknanya PBAKL adalah Pesta Buku Antarabangsa Malaysia dan ia boleh diadakan di mana-mana di negara ini. Nama Kuala Lumpur itu adalah kerana ia pada asalnya berlangsung di Kuala Lumpur dan bandar raya ini adalah ibu kota negara.

Seperti mana Lapangan Terbang Antarabansa Kuala Lumpur (KLIA) tidak terletak di Kuala Lumpur, maka institusi yang bernama Kuala Lumpur tidak semestinya terletak di ibu kota negara.

KLIA terletak di Sepang, Selangor. Begitu juga dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang juga mempunyai kampus di luar ibu kota.

Sempadan

Lagipun walaupun Wilayah Persekutuan Kuala lumpur mempunyai sempadan tertentu tetapi istilah Greater Kuala Lumpur merangkumi beberapa daerah di Selangor iaitu Petaling, Klang, Gombak, Sepang dan Hulu Langat, kawasan yang istilah rasminya disebut Lembah Klang.

Maka MAEPS yang terletak dalam daerah Petaling, iaitu sebahagian dari­pada Greater Kuala Lumpur. Namun seharusnya PBAKL wajar terletak di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kalau hendak mengadakannya di luar Kuala Lumpur kerana ia merupakan pesta buku nasional, maka namakannya sebagai Pesta Buku Antarabangsa Malaysia.

Tetapi dalam dunia perbukuan, pesta buku dikaitkan dengan bandar raya dan bukannya negara seperti Pesta Buku Frankfurt, Pesta Buku London, Pesta Buku Kaherah dan Pesta Buku Teheran.

Jika Pesta Buku Antarabangsa Malaysia tetap hendak diadakan di luar Kuala Lumpur, maka mungkin perlunya pesta buku lain untuk Kuala Lumpur dan diadakan dalam sempadan bandar raya itu.

Salah satu hujah mengapa perlu dipindahkan PBAKL keluar daripada PWTC adalah kesesakan yang berlaku di situ. Sambutan orang ramai amat besar pada PBAKL di PWTC hinggakan ruang tempat letak kereta tidak mencukupi dan kesesakan manusia berlaku di dalam dewan.

Keadaan ini berlaku walaupun ada keluhan bahawa industri buku dalam keadaan merosot dan jualan adalah berkurangan.

Tetapi kesesakan itulah yang menyebabkan kemeriahan dan keseronokan. Keadaan ini berlaku pun dalam bahagian antarabangsa untuk pesta buku yang semakin kecil. Malah penulis amat kecewa dengan penyertaan penerbit dan pengedar buku bahasa Inggeris dalam PBAKL tahun ini.

Ataupun ada kewajarannya di­buat dua pesta buku. Satu Pesta Buku Antarabangsa Malaysia di MAEPS dengan reka bentuk yang selesa dan cantik, tetapi ia lebih menekankan pada buku-buku asing. Dengan dari Malaysia hanyalah sebagai peserta negara seperti yang lain dan lebih banyak buku bahasa Inggeris.

Sementara itu, Pesta Buku Kuala Lumpur boleh bersifat nasional untuk pameran buku-buku dalam Bahasa Malaysia ataupun ia diperluaskan dengan penyertaan penjual dan penerbit buku Cina dan Tamil.

Apa hal pun, pesta buku mesti diadakan di tempat yang orang ramai mudah sampai melalui keretapi. Di Kuala Lumpur, laluan LRT, MRT. Komuter dan Monorel sudah berselirat untuk sampai ke dewan-dewan besar.

Selain PWTC, dewan-dewan besar lain adalah seperti Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di KLCC. Malah syarikat kedai buku Popular mengadakan pesta buku tahunannya, Bookfest yang mempamerkan buku-buku bahasa Inggeris, Cina dan Melayu.

Selain PWTC dan KLCC, dewan-dewan lain adalah tidak sama besar. Tetapi tentulah boleh dianggarkan kos menyewa di dewan-dewan mega itu.

Antara rungutan apabila PBAKL diadakan di MAEPS adalah soal kemudahan tempat makan. Ketika diadakan di MAEPS dahulu, makanan yang dijual melalui trak makanan bukan saja mahal tetapi tidak ada tempat duduk yang selesa lebih-lebih lagi dalam cuaca panas.

Di PWTC, walaupun makanan yang dijual dalam dewan adalah mahal tetapi disediakan barisan gerai makanan di luar bangunan yang harganya lebih murah.

Di sekitar PWTC, terdapat juga medan selera di tepi sungai dan beberapa kedai mamak tidak jauh dari situ. Juga di Sunway Putra ada tempat makan termasuk satu medan selera.

Tetapi jika di dewan konvensyen KLCC, tentulah tiada kemudahan makanan harga murah. Begitulah di Kuala Lumpur, walaupun terdapat banyak orang yang makan di tempat-tempat kedai mahal, tetapi kebanyakan orang lebih mampu makan di kedai-kedai murah.

Lebih-lebih lagi bagi pengunjung PBAKL yang datang bersama keluarga, yang sudah tentu menjimatkan jika mereka menjamu di kedai-kedai murah.

Akhirnya, apapun penganjuran di Kuala Lumpur, perlulah diambil kira siapakah sasarannya. Jika sasarannya adalah orang kebanyakan dan bukannya golongan perniagaan tertentu, maka kemudahan pengangkutan awam dan makanan harga wajar perlu difikirkan.

Acara pesta buku adalah untuk orang kebanyakan dan ia memerlukan kemudahan yang berharga patut. Le­bih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang menekan pada waktu ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas